KUALA LUMPUR 20 Sept. – Walaupun negara kini berada dalam fasa endemik, Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjalankan pemantauan rapi secara berterusan susulan penularan varian baharu Covid-19, dikenali sebagai XFG.
Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata walaupun varian XFG adalah subvarian kepada Omicron, setakat ini tiada kebimbangan besar berhubung tahap keganasannya dengan hanya satu kematian setakat ini.
Beliau memberitahu varian berkenaan tidak menunjukkan simptom yang lebih teruk berbanding Omicron lain.
“Walaupun kadar penularannya lebih tinggi, ia tidak dikaitkan dengan peningkatan keganasan penyakit,” katanya selepas merasmikan Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) Peringkat Kebangsaan 2025, di sini, hari ini.
Dzulkefly setakat ini berkata secara keseluruhannya subvarian XFJ mencatatkan sebanyak 9.1 peratus, manakala JN1 dan XEC, masing-masing mencatatkan 17.4 peratus dan 12.7 peratus.
“Semua ini adalah subvarian yang kami terus pantau melalui penjujukan genomik agar tindakan proaktif dapat diambil sekiranya berlaku penularan. KKM dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) tidak pernah mengambil ringan situasi semasa dan sentiasa bersiap siaga.
“Kita tidak mahu menimbulkan panik, tetapi mereka yang mempunyai simptom perlu mendapatkan rawatan segera. Setakat ini, tiada penularan besar dilaporkan, hanya kes-kes terpencil,” katanya.
Dzulkefly menyarankan orang ramai supaya kekal berwaspada dan mengikuti saranan kesihatan awam yang dikeluarkan oleh KKM dari semasa ke semasa.
Katanya, simptom yang dialami oleh pesakit XFG tidak menunjukkan tanda-tanda lebih serius berbanding varian lain dan kebanyakannya hanya mengalami simptom biasa seperti gangguan saluran penafasan.
“Setakat ini, tiada simptom luar biasa atau lebih parah dilaporkan. Ia masih dalam kategori simptom biasa yang kita lihat sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas isu tular satu rakaman video memaparkan insiden seorang lelaki didakwa mencetuskan pergaduhan selepas ditegur merokok di sebuah restoran di Seksyen 13, Shah Alam, Zulkefly berkata, perkara itu masih dalam siasatan polis.
“Jadi pergaduhan itu sudah diambil siasatan oleh polis, kita tunggu bagaimana siasatan dilakukan.
“Selepas ini orang awam jangan lupa larangan merokok di tempat awam masih lagi berkuatkuasa mengikut Seksyen 16(2) Akta 852 yang menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) dalam Akta Makanan (Akta 281),” katanya.
Dzulkefly berkata pihaknya tidak mahu insiden sama berlaku lagi dan mengharapkan perokok menghormati undang-undang terutama membabitkan wanita hamil, anak kecil dan warga emas.
Nnn
