PHNOM PENH – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, menggesa ASEAN memastikan gencatan senjata dilaksanakan secara berkesan antara Kemboja dan Thailand bagi memastikan kestabilan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.
Dalam sepucuk surat kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, beliau berkata harus ada pematuhan ketat terhadap terma gencatan senjata dan perjanjian yang dicapai semasa mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) dan RBC Jawatankuasa Sempadan Serantau (RBC) baru-baru ini.
“Perlu ada pemberhentian segera semua tindakan sebelah pihak yang berisiko mencetuskan ketegangan dan memperluaskan konflik,” katanya dalam surat kepada Pengerusi ASEAN itu.
Kementerian Luar dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja mendedahkan butiran surat itu dalam satu kenyataan akhbar.
Beliau turut menulis surat kepada Presiden China Xi Jinping, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada 28 Julai lalu, Kemboja dan Thailand mencapai perjanjian damai selepas pertempuran tentera selama lima hari di bahagian utara negara itu, yang menyebabkan hampir 150,000 rakyat Kemboja kehilangan tempat tinggal.
Malaysia, dengan sokongan AS dan China menjadi perantara dalam memeterai perjanjian damai bagi menamatkan konflik ketenteraan itu pada 28 Julai dan mesyuarat Luar Biasa Jawatankuasa Sempadan Am diadakan di Kuala Lumpur pada 7 Ogos bagi mengukuhkan perjanjian damai itu.
Nnn
