Mara terus, usah layan tohmahan musuh

SEPANG 17 Sept. – Perikatan Nasional (PN) perlu terus mara memperkukuh perjuangan dan strategi serta tidak perlu bersengkang mata atau memerah idea hanya untuk memenuhi agenda pihak lawan yang mahu melihat PN bertelagah.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu calon Perdana Menteri hanya relevan sekiranya PN berjaya mencapai kemenangan besar sehingga layak menerajui kerajaan Persekutuan.

“Tidak perlu kita membuang masa melayan tohmahan musuh atau “spin” yang sengaja diperbesarkan. Dengan kemenangan 73 kerusi Parlimen dan penguasaan di empat negeri, perjalanan PN masih panjang.

“Walaupun bayangan Putrajaya sudah kelihatan, ia masih belum jelas. Seperti pepatah, ‘Ternak dahulu kambing, kemudian barulah berbincang tentang pembahagian untung’,” katanya menerusi kenyataan di Facebook malam tadi.

Katanya, Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Gerakan dan Malaysian Indian People Party (MIPP) perlu bekerja sebagai satu pasukan tanpa menoleh ke belakang atau sekadar berbangga dengan pencapaian lalu.

“Musuh sudah tentu sedang merancang strategi dan dengan kedudukan mereka sebagai kerajaan pusat, segala dana serta kemudahan akan digunakan sepenuhnya untuk mempertahankan kuasa.

Ketepikan perkara yang tidak menguntungkan perjuangan.Jika benar kita mahukan kejayaan, mari kita perkukuh muafakat dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebagai ujian pertama sebelum meneruskan bahtera menuju Putrajaya.

“Mari kita kembali kepada penyelesaian Islam demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya.

Mengenai Muktamar Pas ke-71 yang berakhir Selasa lalu, Tuan Ibrahim berkata, ia
merumuskan satu gagasan bagi mengukuhkan perjuangan Pas dan PN.

Katanya, muktamar kali ini memberi tumpuan khusus kepada usaha Pas meyakinkan rakyat, khususnya masyarakat bukan Islam, bahawa mereka tidak perlu berasa takut atau bimbang terhadap Pas dan PN sekiranya diberi mandat dalam PRU-16.

Menurut Tuan Ibrahim, sudah menjadi lumrah, akan ada usik-mengusik dalam perbahasan perwakilan yang kadangkala teguran diberikan secara tegas, dan kebanyakannya dengan cara yang halus dan lembut.

“Semua itu adalah tanda kasih sayang dalam jemaah dan perjuangan. Teguran yang benar wajar dijadikan pedoman, manakala teguran yang kurang tepat pula dijadikan peringatan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment