PM: Hadi tolak, MT PN bincang minggu depan

ALOR SETAR 15 Sept. – Presiden Pas Abdul Hadi Awang menolak kemungkinan beliau akan menjadi Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Katanya, usia yang melebihi 70 tahun sudah tidak layak sedangkan terdapat panduan dalam memilih pemimpin yang layak seperti disebut di dalam al-Quran, antaranya perlu berilmu, kuat tubuh badan dan berintegriti.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, keutamaan Pas adalah menang PRU16 terlebih dahulu sebelum menentukan siapa calon Perdana Menteri yang layak.

“Kita bersedia untuk memimpin Malaysia tapi keutamaan kita adalah menang pilihan raya dahulu dan mendapat cukup sokongan. Bila menang, masalah siapa memimpin akan dipilih secara dalaman parti PN.

Orang umur 70 tahun lebih macam saya ini sudah tak layak, jadi penasihat bolehlah. Biar yang umur 70 ke bawah jadi Perdana Menteri dan orang itu kuat,” katanya selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71, di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, di sini hari ini.

Abdul Hadi, 78 berkata, terdapat ramai tokoh di dalam kalangan pemimpin parti berkenaan layak menjadi Perdana Menteri terutamanya yang mempunyai latar belakang sebagai ahli akademik dan profesional.

Katanya, pemimpin yang dipilih perlu memimpin secara kolektif dan Kabinet yang dibentuk perlu dianggotai ahli politik serta teknokrat yang dilantik sebagai senator.

“Kita diajar dalam Islam bahawa tanggungjawab memimpin adalah amanah sangat besar, kalau tunai kewajipan dengan baik akan dapat pahala besar, jika tak tunai masuk neraka.

“Sebab itu banyak orang takut jadi pemimpin, jadi terpaksalah kita menentukan siapa yang layak jadi pemimpin itu melihat ciri-ciri kepimpinan yang saya sebut tadi seperti berilmu, berintegriti dan boleh turun ke bawah,” katanya.

Sementara itu, Majlis Tertinggi PN akan mengadakan mesyuarat minggu depan bagi membincangkan calon Perdana Menteri selain usul yang mahukan Pas memimpin gabungan parti itu.

Pengerusinya, Muhyiddin Yassin berkata, sebagai komponen terbesar dalam gabungan itu, Pas berhak mencalonkan nama yang difikirkan sesuai menjadi PM.

“Perkara ini adalah hak Pas untuk mencalonkan sesiapa, baik sebagai Pengerusi PN mahupun calon Perdana Menteri. Dan mereka sudah suarakan pandangan itu di muktamar ini manakala Bersatu pula pada Perhimpunan Agung lalu.

“Apa yang penting, kita akan panggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN dalam minggu hadapan untuk membincangkan perkara ini sebelum diputuskan,” katanya selepas menghadiri perasmian muktamar itu.

Mengulas mengenai dakwaan wujud ketegangan antara Pas dan Bersatu ketika ini, Muhyiddin menegaskan hubungan kedua-dua parti kekal akrab dan tidak pernah berdepan masalah sepanjang tujuh tahun menjalin kerjasama.

“Pas dan Bersatu mesra, cukup mesra. Mungkin ada pihak yang tidak suka kerana kita rapat, tetapi bagi saya perjalanan selama tujuh tahun ini sangat baik.

“Kita sudah cipta kejayaan besar termasuk memenangi banyak kerusi pada PRU lalu dan kerjasama di Parlimen juga sangat baik selain Ketua Pembangkang,  Hamzah Zainudin turut mendapat sokongan penuh semua Ahli Parlimen PN.

“Hubungan baik PN tidak hanya di peringkat tertinggi, malah turut terjalin erat di peringkat bahagian serta akar umbi,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment