Pas perlu bersedia ketuai PN, calon PM

ALOR SETAR 12 Sept. – Muktamar Dewan Pemuda (DPP) Pas meluluskan usul menggesa Pas mempersiapkan parti untuk mengetuai Perikatan Nasional (PN) dan menampilkan calon Perdana Menteri berdasarkan kekuatan politik semasa yang jelas.

Usul yang diluluskan sebulat suara itu dibentangkan oleh Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat, Khairul Nadzir Helmi Azhar pada sesi perbahasan Muktamar DPP ke-66 di Kompleks Pas dekat sini, hari ini.

Khairul Nadzir berkata, usul itu menegaskan bahawa Pas kini mempunyai kedudukan politik nasional yang signifikan dan sewajarnya tampil sebagai peneraju utama dalam PN.

Katanya, selain pencapaian semasa, senioriti Pas sebagai parti tertua menghampiri 74 tahun pengalaman dalam politik Malaysia sejak 1951, menjadi asas kukuh bahawa parti ini mempunyai legitimasi, kestabilan dan kapasiti pentadbiran untuk memimpin negara.

“Dengan pengalaman mentadbir negeri-negeri utama, kekuatan jentera akar umbi yang mantap serta konsistensi ideologi dan perjuangan Islam, Pas menunjukkan kesediaan bukan sahaja untuk memainkan peranan sebagai rakan kongsi, tetapi sebagai parti teras yang mampu menawarkan calon Perdana Menteri yang berwibawa dan berpengalaman.

“Maka, usul ini sebagai satu inisiatif untuk menegaskan kedudukan Pas, meningkatkan keyakinan akar umbi dan memberi isyarat jelas kepada rakan serta lawan politik bahawa Pas sudah bersedia memainkan peranan utama dalam membentuk kepimpinan negara pada masa akan datang,” katanya.

Usul berkenaan akan dibawa ke Muktamar Tahunan Pas kali ke-71 bermula Isnin ini untuk dibahas serta diperhalusi.

Khairul Nadzir berkata Pas perlu memperkukuh jentera di semua peringkat untuk mengambil alih kepimpinan PN dengan memberi penekanan kepada aspek penting termasuk pengurusan strategik pilihan raya serta pemetaan kerusi lebih sistematik.

Selain itu katanya, penyelidikan polisi menyeluruh bagi menangani isu semasa, komunikasi massa yang berkesan untuk menjelaskan dasar Islam serta pencapaian Pas dalam PN dan penggerakan aktivis belia serta profesional sebagai tenaga baharu perlu diberi perhatian serius.

“Pas juga disarankan menampilkan calon Perdana Menteri daripada kepimpinan parti dalam rundingan rasmi dengan komponen PN sebagai simbol kesanggupan dan kepimpinan politik yang matang.

“Cadangan ini berasaskan pencapaian Pas  termasuk 43 kerusi Parlimen, penguasaan negeri-negeri strategik dan kuat di Pantai Timur, utara Semenanjung, serta negeri konservatif dengan kepentingan demografi Islam tinggi dan kejayaan dalam pilihan raya negeri di negeri seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu,” katanya.

Khairul Nadzir berkata kemenangan Pas di negeri-negeri berkenaan mencerminkan mandat rakyat yang kuat dan sekali gus mengukuhkan hujah bahawa parti itu layak menerajui negara serta mengemukakan calon Perdana Menteri yang berwibawa.

Terdahulu, Timbalan Presiden Pas Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa Paa lebih menumpukan usaha gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) berbanding menamakan calon Perdana Menteri.

Beliau berkata, walaupun terdapat desakan dan persoalan mengenai siapa calon PM, Pas berpendirian sebarang keputusan berkaitan dasar termasuk calon jawatan tertinggi negara akan dibincangkan bersama dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

nnn

Related posts

Leave a Comment