SEPANG 9 Sept . – Menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri atau poster boy tidak akan menutup ruang untuk tokoh lain, sebaliknya ia adalah strategi yang mengambil kira semua aspek, kata Presiden Putra Ibrahim Ali.
Katanya, ada yang gusar apabila Bersatu menamakan Pengerusi parti itu calon Perdana Menteri (PM) sedangkan dalam demokrasi, hak mutlak tetap di tangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selepas pilihan raya umum (PRU) berakhir.
Beliau menegaskan, mempertahankan Muhyiddin sebagai poster boy PRU16 bukan pilihan emosi sebaliknya strategi politik paling rasional yang menunjukkan Perikatan Nasional (PN) ada arah, nakhoda untuk menumbangkan rejim PH-BN.
Justeru kata Ibrahim, hari ini bukan masa untuk berbalah soal singgahsana sebaliknya masa untuk “menggali kubur rejim PH-BN dan tanam mereka hidup-hidup”.
“Lebih baik kita kehilangan takhta seketika daripada kehilangan negara selama-lamanya. Rakyat tidak peduli siapa Perdana Menteri, rakyat hanya mahu tahu siapa yang berani menyelamatkan mereka.
Dan jawapan itu jelas, PN dengan Muhyiddin sebagai nakhoda, rakyat sebagai tentera, dan kemenangan sebagai janji,” katanya dalam satu kenyataan bagi mengulas ‘kegusaran’ pelbagai pihak berhubung calon PM atau poster boy.
Putra kata Ibrahim mungkin bukan gabungan rasmi dalam PN, tetapi demi semangat menyelamatkan nasib rakyat dan kemakmuran negara serta menumbangkan musuh yang sama, Putra berkongsi semangat perjuangan ini tanpa mengira lambang parti.
Katanya, dalam kapal besar, layar dan sauh mungkin berbeza tetapi nakhoda tetap satu dan tanpa nakhoda, kapal akan karam ditelan ombak.
“Dengan nakhoda, kapal boleh tempuh ribut. Pas tidak rugi, Bersatu tidak rugi, PN tidak rugi. Sebaliknya seluruh gabungan untung, jentera ada arah, rakyat ada keyakinan, musuh jadi keliru dan kelam kabut,” katanya.
Ibrahim mengingatkan, dalam mana-mana pilihan raya besar di dunia, hukum pertama kemenangan ialah mempunyai poster boy iaitu Nahkoda Kapal Perang.
“Tanpa wajah kepemimpinan yang jelas, rakyat tertanya-tanya siapa pahlawan utama sedangkan nakhoda PH dan BN adalah Anwar Ibrahim yang walaupun dilabel pembohong, rekod banduan kes liwat dan didesak turun, PH dan BN tidak berganjak dengan Anwar sebagai calon PM ke-11.
Manakala PN berteka teki siapa poster boy dan ada yang mengatakan tidak perlu dan tunggu selepas PRU. Ini pun PN sudah kalah dari segi moral. Ada pula mengatakan mesti bawa ke Mesyuarat Majlis Pimpinan PN.
Bukankah Muhyiddin Pengerusi PN , maka beliaulah nakhodanya, jika Haji Hadi Awang (Presiden Pas) ambil alih Pengerusi PN maka Hadi nakhodanya, tidak ada calon lain dari segi protokol atau struktur organasasi, mesti Presiden parti,” katanya.
Mengenai Muhyiddin, ia bukannya soal individu tetapi strategi, pilihan paling logik, tepat, dan rasional serta ia juga bukan soal suka atau tidak suka tetapi isu kelangsungan perjuangan yang sudah teruji.
Katanya, Muhyiddin sudah diuji terutama ketika pandemik Covid-19 di mana berjaya memimpin negara keluar dari cemas yang ketika rakyat terdesak, beliau turun dengan moratorium dan bantuan yang menyelamatkan jutaan keluarga.
Berdasarkan fakta dan realiti, Muhyiddin juga pernah menyandang jawatan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet dengan pelbagai portfolio, di samping pernah menjadi Menteri Besar Johor.
“Jenama “Muhyiddin” sudah tertanam dalam minda rakyat sebagai pemimpin yang tidak boleh dinafikan kewibawaannya dan ada sifat negarawan. Beliau bukan memekik dan berbohong dengan pidato retorik hipokrit.
“Ini hakikat kebenaran. Kapal wajib ada nakhoda, untuk belayar, berperang dan buat masa ini Muhyiddin yang terbaik, sama ada suka atau tidak.
“Lain-lain kaum tidak boleh mempersoalkan Muhyiddin atas isu-isu sensitif bagi kaum mereka. Jangan jerat diri sendiri kepada politik perkauman DAP. PN juga memerlukan undi dari lain-lain kaum,” kata Ibrahim.
Dalam pada itu, Ibrahim mengingatkan musuh sebenar bukan di dalam PN, tetapi rejim PH-BN di luar.
“Kerajaan hari ini bukan sekadar lemah tetapi bangkai reput yang cuba dipakaikan baju cantik, luarnya molek, dalamnya penuh ulat, bernanah, busuk, sehingga menusuk hidung rakyat,” katanya.
Ibrahim mendakwa kerajaan hari ini naik bukan dengan maruah, tetapi dengan janji bohong dan fitnah, bertahan bukan dengan jasa.
Beliau berkata, subsidi rakyat ditarik dengan rakus, harga barang melambung, cukai diperah sehingga rakyat tercekik, anak muda hilang masa depan, pelabur umpama burung lari meninggalkan sarang terbakar dan hutang negara menimbun seperti runtuhan menunggu masa menghempap generasi akan datang.
“PH-BN bukan lagi kerajaan, tetapi parasit politik, berslogan reformasi, tikus perosak hasil bendang rakyat, umpama badut sarkas bertopeng reformasi, mekap tebal di wajah, tapi di sebalik topeng itu hanyalah wajah reput menunggu rebah.
Sejarah sudah mengajar, Rom rebah bukan kerana musuh luar, tetapi kerana rapuh di dalam. Soviet runtuh bukan kerana peluru, tetapi rakyat hilang kepercayaan
Begitu juga PH-BN, akan rebah bukan kerana PN terlalu kuat, tetapi kerana rakyat sudah muak,” katanya.
Ibrahim berkata, dalam setiap pertempuran besar, akan ada suara yang mengingatkan apabila orang lain terleka, yang membetulkan hala, apabila bahtera hampir hanyut, yang membaca catur politik ketika orang lain hanya nampak papan dam.
“Ingat kapal mesti ada nakhoda sebelum belayar untuk berperang, membujur lalu melintang patah,” kata Ibrahim.
Nnnnn
