Serangan berterusan, penduduk diarah pindah

TEL AVIV – Tentera Israel mengulangi arahan supaya penduduk Palestin di bandar Gaza supaya berpindah ke selatan, kawasan pantai yang ditetapkan di Khan Younis, ketika pasukannya mara menghampiri kawasan bandar terbesar di wilayah itu.

Jurucakap tentera Israel, Avichay Adraee, menerusi kenyataan di platform X berkata, kawasan itu sebagai ‘zon kemanusiaan’, dengan jaminan mereka akan menerima makanan, rawatan perubatan dan tempat perlindungan di sana.

Tentera Israel turut mengeluarkan amaran pemindahan kepada orang awam di kawasan tertentu di bandar itu kerana serangan akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Beberapa jam kemudian, tentera Israel mengebom sebuah menara tinggi di Bandar Gaza yang didakwa digunakan oleh Hamas, walaupun tiada bukti dikemukakan bagi menyokong dakwaan itu.

Sejak beberapa minggu lalu, tentera Israel melancarkan serangan ke atas pinggir bandar utara itu selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mendakwa Bandar Gaza adalah kubu kuat Hamas.

Walaupun mendapat nasihat bertentangan daripada kepimpinan tertinggi tentera, Netanyahu yang disokong oleh sekutu dalam gabungan berhaluan kanan, tetap mengarahkan penawanan Bandar Gaza itu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkongsi video di X yang menunjukkan sebuah bangunan bertingkat runtuh selepas diserang.

Tentera Israel mendakwa Hamas menggunakan bangunan itu bagi mengumpul maklumat risikan dan meletakkan bahan letupan di kawasan berhampiran tetapi Hamas menyatakan ia menjadi tempat perlindungan penduduk yang kehilangan tempat tinggal.

Pihak berkuasa kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh akibat serangan udara dan tembakan tentera Israel di seluruh wilayah Gaza semalam, dengan separuh daripada korban dilaporkan berlaku di bandar Gaza.

Perang di Gaza memasuki hari ke-700, kelmarin, dengan Pejabat Media Kerajaan Gaza menyatakan hampir keseluruhan infrastruktur wilayah itu musnah sehingga mengakibatkan kerugian lebih AS$68 bilion.

Kempen ketenteraan Israel telah memusnahkan kira-kira 90 peratus infrastruktur Gaza, di samping ‘dasar sistematik genosid dan pemindahan paksa.’

Dilaporkan, lebih 73,700 orang terbunuh atau masih hilang, termasuk lebih 20,000 kanak-kanak dan 12,500 wanita manakala sebanyak 2,700 keluarga pula dihapuskan sepenuhnya daripada daftar sivil.

Antara yang terkorban ialah 1,670 petugas perubatan, 248 wartawan, 139 anggota pertahanan awam dan 173 kakitangan perbandaran.

Lebih 162,000 yang lain cedera dengan ramai daripada mereka mengalami kecederaan kekal seperti kudung anggota, lumpuh dan hilang penglihatan.

Di samping itu,  pejabat media turut mendedahkan mengenai kemusnahan 38 hospital, 833 masjid dan 163 institusi pendidikan, selain kerosakan meluas terhadap ribuan kemudahan awam lain.

Selain itu, ia mendakwa Israel telah melaksanakan pemindahan besar-besaran dengan menghalang penduduk kembali ke rumah mereka di Bandar Gaza dan bahagian utara, serta menggunakan kebuluran sebagai senjata perang.

Ratusan ribu trak bantuan telah dihalang daripada memasuki Gaza, menyebabkan 2.4 juta penduduk termasuk lebih sejuta kanak-kanak, berada di ambang kebuluran.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment