RUU URA: Jika undian, pembangkang mohon belah bahagian

KUALA LUMPUR 26 Ogos  – Pembangkang akan meminta undian belah bahagian jika Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Bandar 2025 (URA) yang dijadual dibentang bagi bacaan kali kedua esok perlu diluluskan Dewan Rakyat.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN),  Takiyuddin Hassan, berkata ia bagi melihat sendiri tahap sokongan Ahli-ahli Parlimen terutama daripada blok kerajaan terhadap RUU itu.

“Esok, kalau RUU dibaca kali kedua, dibahaskan dan digulung menteri untuk (kelulusan), (ketika) undi, kami akan minta belah bahagian, kita mahu tahu mana Ahli Parlimen sokong, mana Ahli Parlimen yang menolak.

“Biar rakyat tahu perkara ini. Kita akan bagi notis awal minta (undi) belah bahagian,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Kaedah undi belah bahagian diperuntukkan dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat untuk memberi ruang Ahli Parlimen menyatakan pendiriannya, sama ada bersetuju, menolak atau berkecuali terhadap sesuatu usul termasuk RUU yang memerlukan untuk diluluskan di dewan.

Sesi ini biasanya berlangsung pada peringkat bacaan kali kedua sesuatu usul atau RUU itu dibentang ke pengetahuan dewan, iaitu sebaik ia selesai dibahas dan digulung oleh menteri atau timbalan menteri bertanggungjawab.

Sebelum ini, lapan Ahli Parlimen PKR menyatakan kebimbangan mengenai RUU itu dan menggesa kerajaan untuk tidak meneruskan bacaan kedua pada Rabu (esok).

Mereka adalah Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Balik Pulau,  Muhammad Bakhtiar Wan Chik, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa).

Nnnn

Related posts

Leave a Comment