SEPANG 26 Ogos – Negeri-Negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis dengan tegas menolak Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 (URA) yang akan dibentangkan untuk Bacaan Kali Kedua di Parlimen pada 27 Ogos ini.
SG4 berkata, RUU ini jika diluluskan akan menjadi suatu undang-undang yang terpakai di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“RUU ini dijangka akan member implikasi besar terhadap kuasa autonomi negeri, hak pemilikan tanah, kelangsungan komuniti asal bandar serta hak asasi penduduk setempat,” kata SG4 dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Terengganu Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis Mohd Shukri bin Ramli.
Menurut kenyataan itu, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] yang sedia ada dengan jelas memperuntukkan bahawa urusan perancangan bandar terletak di bawah bidang kuasa eksekutif Negeri yang dilaksanakan melalui Pihak Berkuasa Perancang Negeri dan Pihak Berkuasa Perancang Tempatan.
Akta 172 juga mengambil kira keperluan kawalan dan perancangan guna tanah serta pembangunan perbandaran yang sesuai selaras dengan dasar kerajaan sesebuah Negeri serta keperluan, sikap dan budaya penduduk setempat.
“Pendekatan ini adalah lebih holistik dengan mengambil kira cita rasa pembangunan negeri berasaskan pertimbangan dasar dan diharmonikan dengan sifat budaya penduduknya,” kata kenyataan itu.
Menurut SG4, pelaksanaan URA juga dilihat boleh menjejaskan hak pemilik asal tanah dan komuniti tradisi yang sedia ada dalam bandar terutamanya kaum Melayu dan bumiputera.
Tambahan pula URA tidak memperincikan mekanisma pampasan dan perlindungan yang jelas kepada pemilik asal tanah dan ia dibimbangi berkemungkinan akan menjejaskan imbangan kaum dan pemilikan hartanah terutama bumiputera di bandar-bandar.
“Negeri-Negeri SG4 amat bimbang tanpa mekanisme pelaksanaan yang jelas, pelaksanaan URA akan mewujudkan jurang komuniti kaum di bandar-bandar sekaligus menjejaskan keharmonian negara,” kata SG4.
Pada masa sama SG4 yakin dengan undang-undang sedia ada termasuk Kanun Tanah Negara, Akta Pengambilan Tanah 1960, Akta Hakmilik Strata 1985, Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.
“Dengan pelaksanaan secara berfokus dan penambahbaikan yang perlu dan wajar boleh menangani isu-isu berbangkit khususnya bagi tujuan pembangunan semula, penjanaan dan penyegaran semula bandar tanpa keperluan terhadap URA.
Negeri-Negeri SG4 dengan ini menolak RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 (Uban Renewal Act),” kata SG4.
