HANOI – Vietnam mula menutup lapangan terbang, sekolah dan pemindahan besar-besaran ketika negara itu bersiap sedia menghadapi taufan Kajiki, taufan paling kuat yang membawa angin sehingga 103 kilometer sejam ketika menghampiri pantai tengah Vietnam.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Vietnam memberitahu, dua lapangan terbang di Wilayah Thanh Hoa dan Quang Binh ditutup manakala Vietnam Airlines dan Vietjet telah membatalkan berpuluh-puluh penerbangan ke dan dari kawasan berkenaan.
Menurut agensi cuaca negara itu, taufan Kajiki dijangka menjadi lebih kuat sebelum melanda daratan pada petang ini,
“Ini adalah taufan yang sangat berbahaya dan bergerak dengan pantas,” kata kerajaan dalam satu kenyataan malam tadi dengan memberi amaran bahawa Kajiki akan membawa hujan lebat, banjir dan tanah runtuh.
Taufan itu berada 150 kilometer (km) dari pantai tengah pada tengah malam tadi, menurut agensi cuaca negara itu.
Dengan pantai yang panjang menghadap ke Laut China Selatan, Vietnam terdedah kepada taufan yang sering membawa maut serta menyebabkan banjir dan tanah runtuh yang berbahaya.
Kerajaan Vietnam berkata, Kajiki dijangka sekuat Taufan Yagi, yang melanda negara itu kurang dari setahun lalu, mengorbankan kira-kira 300 orang dan menyebabkan kerosakan harta benda bernilai AS$3.3 bilion.
Pihak berkuasa berkata lebih setengah juta orang akan dipindahkan dan bot telah diarahkan untuk tidak ke laut.
Nnn
