Warisan kekal solo hadapi PRN Sabah

SEPANG 24 Ogos – Parti Warisan Sabah (Warisan) kekal dengan keputusan untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17) bagi menghadapi gandingan GRS-PH-BN dan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangannya,  Azis Jamman berkata, Warisan menghormati cadangan PN yang mahu menjalin kerjasama dengan parti itu tetapi pendirian Warisan adalah jelas dan tegas.

“Warisan, sejak awal lagi, di bawah pimpinan Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 menggunakan logo kita sendiri, keputusan ini telah dimaklumkan secara konsisten dan tidak berubah.

Tiada rundingan, perbincangan atau rancangan kerjasama dengan PN, GRS maupun mana-mana gabungan politik lain mengenai kerjasama pilihan raya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Terdahulu Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN tidak menolak kemungkinan untuk menjalin kerjasama dengan Warisan dalam menghadapi PRN Sabah akan datang.

Azis menegaskan, sebarang cadangan atau spekulasi perikatan pintu belakang adalah tidak berasas dan tidak menggambarkan kedudukan rasmi Warisan.

Menurut Azis, satu-satunya pakatan terpenting Warisan adalah dengan rakyat Sabah untuk menangani cabaran mendesak termasuk peningkatan kos sara hidup, kekurangan infrastruktur, bekalan elektrik dan air yang sering terputus, peluang pekerjaan yang terhad, dan tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah lama tertunggak.

Katanya, Warisan memilih untuk kekal konsisten, berprinsip dan telus dengan hala tuju parti adalah untuk bertanding secara solo dan untuk menyediakan rakyat Sabah sebuah kerajaan yang mengutamakan kebajikan daripada kepentingan politik.

“Warisan akan menghadapi pilihan raya negeri atas kekuatan dan di bawah panji sendiri. Kami yakin, rakyat Sabah akan terus meletakkan kepercayaan kepada Warisan untuk menyampaikan masa depan yang lebih baik, adil dan lebih makmur untuk negeri kita,” katanya.

Nn

Related posts

Leave a Comment