KUALA LUMPUR – Pertelingkahan berkaitan isu penjenamaan semula Tabung Haji (TH) tidak wajar dijadikan gelanggang perseteruan yang berpanjangan sebaliknya perlu diselesaikan secara baik dengan mengutamakan suara hati majoriti pendeposit.
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, TH berdiri kerana kepercayaan lebih 9 juta pendeposit yang menabung dengan doa agar suatu hari dapat ke Baitullah.
“Maka setiap keputusan mesti memelihara sensitiviti majoriti pendeposit dan wajar diimbangi dengan pertimbangan lain seperti menutup jalan fitnah (sadd al-zarā’i), menjaga maruah agama (ḥifẓ al-dīn), dan memastikan maslahat tidak bercanggah dengan nas syarak,” katanya dalam satu kenyataan.
Zulkifli yang mengulas isu penjenamaan semula melibatkan firma bukan Islam berkata, semua pihak kembali kepada panduan syarak dan prinsip tadbir urus yang berteraskan integriti, demi memastikan TH kekal unggul, diyakini, dan menjadi kebanggaan negara serta dunia Islam.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Ahmad Marzuk Shaary, mendakwa di Parlimen bahawa RM20 juta wang hasil titik peluh pendeposit TH digunakan untuk penjenamaan semula, dan tiga syarikat yang sama ada dimiliki sepenuhnya atau majoriti oleh bukan Islam dan bukan Bumiputera dilantik.
Beliau mengakui penjenamaan semula adalah sebahagian usaha mengekalkan daya saing dan imej global di mana kali terakhir penjenamaan dan penambahbaikan logo dilakukan ialah pada tahun 2009.
“Namun, apa pun bentuk perubahan, ia mesti berpaksikan kepada maruah agama dan keyakinan umat,” katanya.
Zulkifli juga menarik perhatian, semasa beliau menjawat jawatan menteri, , antara agensi terawal yang berkunjung ke pejabatnya dan menawarkan bantuan untuk memperkukuh fungsi TH ialah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) iaitu unit strategik di bawah Jabatan Perdana Menteri Malaysia (JPM).
Namun, perancangan kerjasama itu tidak dapat diteruskan setelah berlakunya Covid-19 dan pertukaran kerajaan.
Zulkifli bagaimanapun berkata, melalui cadangan kerjasama awal terbabit ketika itu, ia memberi gambaran jelas bahawa pemerkasaan ekonomi Bumiputera tidak boleh dipisahkan daripada kekuatan institusi Islam, dan TH ialah antara lambang terpenting kepercayaan ummah yang mesti dipertahankan dan diperkasakan.
“Saya melihat sinergi ini amat bermakna kerana TERAJU boleh membawa agenda besar pemerkasaan Bumiputera melalui lima teras utama.
“Ia adalah memperkukuh pelaburan strategik yang memberi pulangan mampan kepada pendeposit, membangunkan vendor dan usahawan Bumiputera dalam sektor logistik, makanan dan hospitaliti haji,” katanya.
Zulkifli turut melihat kerjasama TH dan TERAJU adalah bagi menyediakan sokongan strategik demi memastikan TH kekal kompetitif dengan identiti Islamik yang kukuh, melahirkan lebih ramai teknokrat serta profesional dalam bidang kewangan Islam dan pengurusan risiko melalui pembangunan modal insan, serta menyelaraskan dasar supaya naratif ekonomi Bumiputera selari dengan maqasid syariah.
Beliau turut mengambil contoh sejarah Uthmaniyyah memperlihatkan bagaimana tenaga bukan Muslim daripada Eropah seperti Perancis, Hungary, dan Itali digunakan dalam bidang teknikal seperti pembuatan senjata, perkapalan dan pembangunan.
Namun, semua itu katanya, berada di bawah kawalan ketat wazir, janissari dan birokrasi Muslim.
“Penglibatan mereka meluas namun terhad kepada perkara selain dasar dan imej Khilafah Uthmaniyyah. Jurutera asing membina meriam hanya mengikut arahan komander, percetakan huruf Arab pula hanya dibenarkan dengan fatwa Şeyhülislām, dan seni bina masjid kekal dipelopori arkitek Muslim seperti Mimar Sinan.
“Ini membuktikan bahawa kerjasama teknikal dibenarkan, tetapi urusan identiti dan imej agama tetap dipelihara oleh Muslim sendiri,” katanya.
Zulkifli berkata, dalam sistem pentadbiran Islam, kuasa tafwīḍ (delegasi dasar) hanya diberi kepada Muslim kerana melibatkan syiar dan arah pentadbiran, manakala kuasa tanfīdh (pelaksanaan teknikal) lebih terbuka untuk kerjasama, termasuk dengan bukan Muslim.
Ia sebagaimana pelantikan seorang Yahudi bernama Abdullah bin Uraiqit oleh Nabi Muhammad SAW sebagai penunjuk jalan ketika hijrah.
“Ini menunjukkan Islam meraikan kepakaran luar dalam hal teknikal, tetapi menjaga identiti dan dasar agama di tangan umat Islam,” katanya.
Nnnn
