JOHOR BAHRU 22 Ogos – Tindakan tegas Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengarahkan sebuah klinik gigi swasta ditutup 30 hari kerana kesalahan memasang bendera secara terbalik perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros, berkata penguatkuasaan undang-undang tegas oleh MPPn itu adalah wajar susulan ia semakin kerap berlaku kebelakangan ini.
“Ia bagi memastikan bendera Malaysia sentiasa dipasang dengan sempurna, lebih-lebih lagi dalam suasana negara menyambut kemerdekaan Malaysia yang ke-68.
“Pemuda UMNO Johor yakin MPPn sudah bertindak mengikut lunas undang-undang dan dalam bidang kuasa diperuntukkan sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dilaporkan menggesa kerajaan Johor campur tangan mengarahkan MPPn menarik balik arahan penutupan selama 30 hari yang dikeluarkan terhadap klinik gigi berkenaan.
Majlis Eksekutif DAPSY menyifatkan tindakan menutup klinik berkenaan sebagai keterlaluan dan tidak sepadan dengan kesalahan yang dilakukan.
Semalam, klinik di Pusat Perdagangan Pontian diarah tutup 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik pada petang Rabu lalu sehingga ia tular dan mengundang kemarahan ramai.
Pemeriksaan MPPn mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan Majlis Daerah Pontian (MDP) 2019 di bawah berkaitan pengibaran bendera.
Setiap premis yang dilesenkan di bawah UUK diwajibkan mengibar Jalur Gemilang atau bendera negeri Johor dengan cara dan kaedah betul bagi tempoh tertentu, termasuk sempena bulan kemerdekaan.
Tindakan penutupan dibuat mengikut UUK 49 (2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen.
Bagainanapun, pemilik premis boleh mengemukakan rayuan bertulis dalam tempoh penutupan, namun keputusan lanjut tertakluk kepada budi bicara Yang Dipertua MPPn.
Nnnn
