KUANTAN 22 Ogos – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menubuhkan Lembaga Penyiasat bagi mengenal pasti punca nahas pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang mencederakan dua juruterbangnya di Pangkalan Udara Kuantan di sini, malam tadi.
Panglima TUDM, Jeneral Muhamad Norazlan Aris, berkata, lembaga penyiasat akan dianggotai pegawai kanan TUDM dengan pihak berkenaan sudah pun memulakan siasatan hari ini dan dijangka mengambil masa dua minggu,
Bercakap pada sidang media di Pangkalan Udara Kuantan, di sini, hari ini, beliau juga memberitahu, susulan kejadian yang memusnahkan sepenuhnya pesawat itu, operasi penerbangan F/A-18D turut digantung sementara waktu.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 9.05 malam tadi, juruterbang berpangkat Mejar dan jurusensor senjata pesawat berpangkat Kapten, sempat melompat keluar dari pesawat sebelum jet pejuang itu meletup dan terhempas.
Dua juruterbang berpengalaman itu adalah, juruterbang pesawat, Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, dan jurusensor pesawat, Kapten Mohamad Izzudin Mohamad Salleh, 28, dari 18 Skuadron Butterworth, Pulau Pinang.
Katanya, skuadron terbabit ditempatkan sementara di Pangkalan Udara Kuantan, sejak Jun lalu dan ketika kejadian pesawat itu sedang melakukan latihan penerbangan malam.
Katanya, kedua-dua pegawai TUDM itu yang cedera ringan dibenarkan keluar dari Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pukul 2 pagi tadi dan kini ditempatkan sementara di Rumah Sakit Angkatan Tentera, Pangkalan Udara Kuantan.
Ditanya mengenai andaian kejadian itu turut membabitkan ‘bird strike’ atau serangan burung, Muhamad Norazlan berkata ia belum dapat dipastikan.
“Saya sudah meneliti video tular kejadian dan tidak dapat memastikan serangan burung atau bahan asing sebagai punca pesawat itu terhempas. Siasatan menyeluruh sedang dilakukan dan disahkan pesawat digunakan sejak 1997 itu rosak keseluruhan,” katanya.
Muhamad Norazlan sebelum itu meninjau lokasi pesawat terbabit terhempas dan bertemu dua mangsa kemalangan jet pejuang terbabit.
Nnnn
