KUALA LUMPUR 21 Ogos – Beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang membantah Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 bagi bacaan kali pertama hari ini.
Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) bangun menggunakan peraturan mesyuarat 54 menggesa bacaan kali kedua atau sesi perbahasan minggu depan ditangguh dan RUU itu dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
“Kita tahu RUU ini sudah menjadi percakapan awam di luar sana yang begitu hebat. RUU ini tidak dimaklumkan dengan jelas dan diberi kefahaman jelas sehingga menimbulkan kontroversi,” katanya.
Beliau berkata, surat yang dikemukakan Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi kepada menteri sebelum ini juga memohon bacaan kali kedua RUU ditangguhkan sehingga segala isu berbangkit dalam sesi libat urus diselesaikan.
Di sebalik gesaan berkenaan, RUU tersebut tetap dibentangkan Kor Ming sebaik selesai sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.
Sementara itu dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen turut menggesa RUU itu ditangguh sementara bagi memberi ruang dan masa secukupnya kepada ahli Parlimen meneliti secara terperinci seksyen diperuntukkan dalam RUU berkenaan.
Malah beliau mendakwa, draf RUU berkenaan hanya diberi kepada ahli Parlimen pagi Khamis sebelum dibentang Kor Ming, menyebabkan ahli Parlimen tidak mempunyai masa mencukupi untuk menelitinya.
Dalam pada itu, tujuh Ahli Parlimen PKR menyatakan kebimbangan mengenai RUU itu khususnya mengenai ambang persetujuan bagi projek pembaharuan bandar.
Selain Wong Chen turut sama Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee u Chung.
Rodziah yang membacakan kenyataan bersama itu berkata kebimbangan utama mereka khususnya membabitkan Seksyen 19(1)(b), di mana ia menyebut bahawa jika suatu projek pembaharuan semula bandar dijalankan oleh Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan atau Jawatankuasa Eksekutif Negara bagi suatu bangunan berusia 30 tahun atau kurang, ambang persetujuan hendaklah 80 peratus.
Ia termasuk membabitkan bangunan berusia lebih daripada 30 tahun, ambang persetujuan hendaklah 75 peratus.
“Kami menggesa kerajaan untuk tidak meneruskan bacaan kedua pada Rabu ini (minggu depan) dengan mengkaji semula RUU berkenaan pada sidang Parlimen akan datang,” katanya.
Katanya ia selepas satu sesi taklimat yang lebih menyeluruh diberikan kepada Ahli Parlimen dengan menekankan isu utama ambang persetujuan serta kesannya terhadap penyewa miskin bandar.
“Sekiranya kerajaan meneruskan RUU URA dalam bentuknya sekarang, ia berisiko mengasingkan pengundi bandar khususnya di kawasan pilihan raya yang menempatkan banyak perumahan sosial. Ini akan menjadi satu kesilapan politik yang besar.
“Kami menyokong secara prinsip RUU URA ini dengan syarat ambang persetujuan ditetapkan dengan lebih adil dan masalah perumahan sosial ditangani seperti yang telah kami cadangkan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Dalam konteks Malaysia, Rodziah berkata negara ini mempunyai tanah jauh lebih luas berbanding Hong Kong dan Singapura, sekali gus kerajaan tidak seharusnya tergesa-gesa untuk merendahkan ambang persetujuan ini.
Malah pihaknya percaya bahawa ambang persetujuan yang sesuai hendaklah ditetapkan lebih tinggi iaitu 85 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun dan 90 tahun bagi bangunan berusia bawah 30 tahun.
“Ia demi melindungi hak pemilik rumah dan khususnya penyewa dalam perumahan sosial. Kita tidak seharusnya menyokong ambang persetujuan 75 peratus ini,” katanya.
Meskipun tidak membantah pembangunan semula bangunan benar-benar terbengkalai atau tidak selamat denga ambang persetujuan 51 peratus, Rodziah menegaskan pembangunan semula bandar membabitkan perumahan kos rendah perlu ditangani dengan lebih adil.
“Walaupun kami menyokong, secara prinsip, pembangunan semula rumah kos rendah yang sudah usang, kami memandang dengan penuh kebimbangan bahawa dasar perumahan sosial yang diwarisi oleh kerajaan Madani ini adalah sangat pincang.
“RUU URA ini tidak banyak memperbaikinya. Pemilik semua rumah kos rendah kebanyakan terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana bukan golongan kaya.
“Sebagai contoh, di Subang, kajian dijalankan pejabat Subang mendapati hampir 73 peratus penghuni unit kos rendah adalah penyewa, bukan pemilik. Majoriti besar pemilik adalah golongan kes menengah dan berpendapatan tinggi,” katanya.
Nnnn
