Diari Zara Qairina setebal 51 halaman

KUALA LUMPUR – Sidang Dewan Rakyat hari ini, diberitahu, siasatan kes kematian, Zara Qairina Mahathir, 13, turut menerima sebuah diari setebal 51 halaman milik pelajar berkenaan yang diserahkan guru kepada penyiasat.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan diari itu mengandungi luahan hati dan catatan peribadi Allahyarhamah mengenai masalah yang dihadapinya sebelum kejadian.

Pada sesi penerangan mengenai kejadian itu, Saifuddin berkata, hasil siasatan menunjukkan terdapat unsur buli, pengabaian dan gangguan seksual.

Berikut sedutan penjelasan Saifuddin Nasution pada sesi penerangan itu.

“Tuntutan atau dakwaan memerlukan bukti. Maka inilah yang pasukan polis lakukan dalam menyiasat kes adik Zara ini. Sejak saat pertama kejadian pada awal pagi 16 Julai, jam 3 pagi saat adik Zara ini terdampar di longkang asrama, setiap langkah yang diambil oleh pihak terlibat mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan. Pembantu pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Kinarut tiba seawal 3.45 pagi untuk memberi rawatan awal dan pada masa itu adik Zara masih bernafas. Jatuh, masih bernafas.

Penolong pegawai perubatan sampai pagi itu juga dan ini menunjukkan respons pantas dan komited dari barisan hadapan perkhidmatan kesihatan. Is a statement of fact. Saya nak establish yang itu dulu. Ibu mangsa, Puan Noraidah Lamat dihubungi dan dimaklumkan pagi itu juga oleh pihak sekolah, jam 4 pagi. Ini membuktikan pihak sekolah tidak berlengah dan tertangguh tak habis. Sebab Ini membuktikan pihak sekolah tidak berlengah dan dan tak ada tangguh-tangguh dalam memaklumkan kepada keluarga iaitu ibunya.

“Adik Zara kemudian dibawa segera ke Hospital Queen Elizabeth jam 4.27 pagi untuk rawatan lanjut dan doktor segera memberikan rawatan dan memasang alat bantuan pernafasan. Pihak polis tidak berlengah dalam mengendalikan kes ini. Laporan maklumat pertama kita sebut First Information Record (Rekod pertama laporan) telah dibuat oleh seorang guru pada pukul 8 pagi pada hari yang sama. Ibu mangsa pula tiba di hospital jam 10 pagi untuk melihat keadaan anaknya. Dan selepas bertarung nyawa, adik Zara menghembuskan nafas terakhir pada 17 Julai, jam 1.07 tengah hari dan doktor mengesahkan adik Zara meninggal akibat kecederaan otak yang teruk.

“Laporan polis kedua dibuat kali ini oleh ibu mangsa dan pada jam 1.40 petang pada hari yang sama. Pada jam 3.30 petang, pegawai penyiasat mengendalikan kes ini pada awalnya, ini pegawai penyiasat yang awal sampai di hospital. Doktor yang merawat mengesahkan punca kematian. Doktor sahkan cause of death (punca kematian) dan memaklumkan bahawa keputusan untuk menjalankan bedah siasat adalah urusan polis. Dan pegawai penyiasat kemudiannya berjumpa dengan ibu mangsa dan memaklumkan tentang keperluan untuk melakukan proses itu. Ibu mangsa ketika itu menyatakan dia nak menyegerakan pengebumian. Dia nak segerakan kebumi (pengebumian). Anak dia dah cukup derita, dia nak segerakan pengebumian.

“Di sini di pihak polis, Pengarah Siasatan Jenayah mengakui ada ketidakpatuhan dari segi prosedur siasatan di pihak pegawai polis yang berkenaan. Pegawai polis pula bila minta maklumkan kepada ibu, ibu kata dia tak nak buat. Dia nak segerakan pengebumian. Dan doktor yang bertugas pada jam 5 petang di bilik mayat sekali lagi menemui ibu. Ibu kekal dengan pendirian bahawa dia nak segerakan pengebumian.

Dan ibu kemudiannya mengisi dan menandatangani surat akuan enggan bedah siasat mayat atas kemahuan sendiri disaksikan oleh kakak ipar kepada ibu itu. Dokumen semua siap. Dan keputusan ini dibuat atas kehendak ibu, didokumenkan secara sah dan sikap pegawai penyiasat polis waktu itu menghormati sepenuhnya. Itu menghormati tak teruskan dari sudut (Seksyen) 329 Kanun Acara Jenayah itu dianggap sebagai non-compliance (ketidakpatuhan).

“Dan itu telah ditegur dan pihak polis akan mengambil tindakan dalaman. Mangsa dibawa untuk urusan pengebumian jam 6 petang. Polis segera buka kertas siasatan Sudden Death Report (kematian mengejut) pada jam 6.54 petang hari yang sama dan memulakan siasatan dengan teliti. Dan ini adalah bukti jelas siasatan tidak terhenti. Sejak dari 18 Julai hinggalah 25 Julai, pada ketika itu, kita dah panggil sampai 38 saksi.

Hari ini sedang saya bercakap, kita telah pun mengambil keterangan daripada 195 saksi. Pagi tadi, pihak polis telah menyerahkan kepada Peguam Negara dan sekarang tunggu keputusan Peguam Negara sama ada yakin dengan hasil siasatan untuk meneruskan ya apakah proses seterusnya.

“Pada masa yang sama, di hari ini juga, di Kota Kinabalu, siasatan Mahkamah Koroner, inkues telah menetapkan tarikh-tarikh. Inkues akan dimulakan pada 3 dan 4 September, 8, 9 dan 10 September diikuti 22 hingga 30 September. Hal ini kita buat atas satu sahaja niat, untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan dalam konteks episod ini.

Siasatan kita menyeluruh dan terperinci dan untuk kali pertama isu ini dibangkit oleh rakan-rakan saya ahli Parlimen pada 30 Julai. Pada waktu itu sudah timbul beberapa kenyataan seperti yang terlibat cucu kepada TYT, Tuan Yang Terutama, pengetua adalah isteri kepada menteri. Cara mati secara didera dalam washing machine (mesin basuh). Keadaan tu dah jadi toksik macam tu sekalilah keadaan itu.

“Siasatan polis tidak menemui semua perkara-perkara yang disebut begitu. Tidak ada sama sekali setelah keterangan daripada 195 saksi yang kita ambil. Tidak ada sama sekali. Baik. Setiap tindakan yang polis, sekolah, pegawai perubatan adalah berdasar maklumat yang ada pada ketika itu, berdasar pada SOP (Prosedur Operasi Standard) yang ditetapkan. Ada ketidakpatuhan yang saya sebut tadi, tapi ini tidak sama sekali menjejaskan integriti siasatan apa lagi setelah pasukan Bukit Aman mengambil alih.

“Polis terus siasat tanpa sebarang drama. Kita tak naklah buat dramatize semua ni sebab nak cari kebenaran. Komitmen polis adalah untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan bagi Allahyarham Zara. Saya nak tegaskan setakat ini, ketika saya sebut sini, ya, saya katakan bahawa tuduhan cover-up (penyembunyian) SOP tidak dipatuhi, itu tertolak sama sekali. Saya ingin menjelaskan bahawa mengenai kes kematian ini, khususnya untuk menangkis sebarang dakwaan tidak berasas dan memastikan semua pihak dapat memahami akan integriti proses siasatan yang sedang berjalan. Tuduhan mengatakan bahawa kes ini cuba ditutup, cuba dimanipulasi adalah tuduhan yang sangat berat, tidak mencerminkan realiti tindakan pihak berkuasa daripada awal hingga kini.

“Siasatan ini sampailah membawa kepada diari adik Zara diserahkan oleh guru kepada polis. Catatan 51 halaman yang memberikan luahan hati adik Zara pada momen-momen apakah masalah yang sedang dihadapi. Keterangan oleh rakan-rakan yang tinggal satu asrama dengan dia. Ya, apakah yang berlaku pada tarikh-tarikh 14 dan 15 hari bulan itu semua polis lengkapkan dalam siasatan. Dan polis kemudiannya cadangkan kepada peguam negara apakah hala tuju siasatan yang akan kita bawa.

“Saya tak tolak daripada membaca pertuduhan itu ada elemen buli. Ya. Saya nak sebut ada elemen buli. Jelas. Sebab itu pihak kita juga sama. Tak boleh ada usaha ataupun percubaan menutup kalau ada elemen buli. Sekolah tempat yang patut jadi tempat selamat untuk anak-anak kita. Para pentadbir sekolah harus diingatkan kalau ada insiden ini bawa ke tengah. Sebab itu siasatan kita menjurus hala tujunya kepada elemen buli. Ya. Yang sudah pun kita lengkapkan siasatan itu. Ya. Ada elemen pengabaian kerana adik ini ada membuat aduan kepada pihak sekolah. Ada.

Kita siasat di bawah elemen pengabaian. Ada elemen gangguan seksual, kita siasat juga. Demikian banyak terpulang Peguam Negara untuk menetapkan hala tuju sama ada tuduhan itu dapat dibuat atau tidak. Pada masa yang sama, kita kata bahawa inkues juga adalah satu platform terbaik sebab di situ boleh semua pihak secara transparent (telus), terang dan terbuka sekali lagi ini kerana apa? Kerana kita nak cari kebenaran dan membawa kalau ada pelakunya ke muka pengadilan.

Ibu Zara buat report (laporan) polis ketika dia mandikan mayat, ada kesan lebam kata dia. 3 Ogos. 4 Ogos, pada ketika itu laporan awal kita serah pada peguam negara, polis cadangkan supaya kubur digali semula untuk tujuan bedah siasat. Sebab apa? Sebab mak dia kata ada kesan lebam pada mayat. Polis ketika menyerahkan siasatan awal, polis kata kepada cadang kepada Peguam Negara, gali semula kubur. Menggali semula jenazah yang telah disemadikan adalah satu perkara yang sangat serius. Dia ada set prosedur operasi standard yang ketat dan rumit. Setiap peringkat perlu kelulusan kehakiman, penelitian forensik.

“Pihak polis tidak bertangguh sejurus selepas peguam negara mengarahkan (kubur) digali semula, beberapa jam selepas itu kita mulakan proses untuk mendapatkan kebenaran gali semula daripada majistret kelas pertama dan kita buat melalui aplikasi Zoom dengan kehadiran Pengarah Pendakwaan Negeri dan permohonan ini dibenarkan. Membuktikan sekali lagi setiap langkah kita ambil mengikut saluran undang-undang.

“Proses menggali semula kubur dijalankan dengan disaksikan oleh Yang Arif Majistret, ibu Allahyarham sendiri, peguam keluarga, pakar forensik dari Hospital Queen Elizabeth 1, pasukan forensik Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sabah pada hari yang sama juga mayat adik Zara dibawa ke Hospital Queen Elizabeth untuk dibedah siasat pada 10 Oktober 2025. Dan hasil bedah siasat itu disampaikan juga kepada ibu dan peguam keluarga, disampaikan secara terbuka, terus walaupun itu adalah laporan awal untuk mengesahkan punca kematian yang menyebabkan kepada adik Zara meninggal dunia. Kita datangkan pula seorang lagi pakar dari Hospital Serdang dan semua itu dibuat dengan dihadiri oleh peguam keluarga.

“Adik Zara yang baru berumur 13 tahun, anak tunggal dalam keluarga. Kerana itu, kita mesti lakukan siasatan secara profesional dan telus, bukti yang sahih mengikut peruntukan lunas undang-undang. Kita sebuah masyarakat yang bertamadun dan dalam negara yang berlandaskan kedaulatan undang-undang, kita tak boleh bertindak berdasar andaian semata-mata, desas-desus di media sosial atau tekanan daripada ahli-ahli politik mahupun kerana berlakunya demonstrasi-demonstrasi yang niat sebenar adalah untuk mendapatkan kebenaran dan keadilan dan saya tegaskan itulah yang keadilan yang kerajaan nak laksanakan. Polis komited untuk menyelesaikan siasatan ini.”

Related posts

Leave a Comment