Ahli Parlimen Pendang digantung lagi

KUALA LUMPUR 18 Ogos – Gara-gara mencabar ahli Parlimen Jelutong ‘bertumbuk’ di Dewan Rakyat minggu lalu, Ahli Parlimen Pendang mewakili Pas Awang Hashim digantung kehadiran di Dewan Rakyat selama 10 hari.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, ketika membuat keputusan itu berkata arahan berkenaan berkuatkuasa bermula hari ini, dan ia diputuskan mengikut peraturan Mesyuarat 42 (2).

“Ini keputusan saya bahawa mengikut peraturan mesyuarat 42 (2), saya memerintahkan Pendang untuk keluar dari Dewan selama 10 hari mulai hari ini,” katanya di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Johari turut memberi amaran supaya Ahli Parlimen tidak lagi menyebut bahawa Pas adalah parti ajaran sesat selain melabel mana-mana Yang Berhormat sebagai kafir, di dalam Dewan Rakyat.

Johari berkata, Peraturan 36 (10)(c) jelas mengatakan bahawa jangan ungkapkan perkataan yang menaikkan perasaan kecil hati atau bermusuh-musuhan di antara Ahli Parlimen.

Terdahulu sebelum Johari membacakan keputusannya, beberapa ahli Parlimen cuba mempertahankan Pendang dan mahu tindakan turut dikenakan keatas Jelutong kerana insiden itu berlaku akibat provokasi.

Johari yang mempengerusikan sesi penggulungan Kementerian Kewangan bagi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13, menjawab celahan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dan beberapa lagi ahli parlimen pembangkang yang lebih awal bangun cuba mendahului keputusannya.

“Saya ambil tindakan hari ini sebab kita selalu bercakap tentang buli. Kita kata tindakan tidak cukup, pihak berkuasa tidak ambil tindakan terhadap macam-macam

“Masa itu saya yang mempengerusikan, saya duduk di sini. Jadi saya nak fokus ini pada Pendang sahaja.Kenapa ambil tindakan kepada Pendang? Sebab ketika itu saya yang mempengerusikan, saya nampak apa berlaku,” kata Johari.

Johari berkata, keduanya, apa yang membuat beliau kecil hati, remuk hati apabila insiden itu berlaku di hadapan budak-budak sekolah

“Kita bercakap tentang kelakuan anak-anak kecil di sekolah, tapi kita sendiri berkelakuan begini di depan budak-budak. Oleh itu, dengan keputusan saya di bawah SO 44(2), saya dengan ini perintahkan Pendang keluar dewan selama 10 hari mulai hari ini,” tegasnya.

Minggu lalu, Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) membangkitkan isu keselamatan ahli parlimen di dalam Dewan Rakyat, dengan menuduh Awang membuat ancaman fizikal.

Insiden itu didakwa berlaku ketika Awang dan RSN Rayer (PH-Jelutong) keluar dari Dewan Rakyat, selepas pertikaman lidah yang berakhir dengan teguran keras Johari terhadap kedua-duanya.

Keputusan terbaharu ini menandakan kali kelima Awang digantung daripada prosiding Dewan Rakyat dalam penggal semasa, dengan yang paling terkini pada Disember lalu — juga selama 10 hari.

Related posts

Leave a Comment