Anggota Briged Rafah Hamas maut

GAZA – Seorang anggota kanan Briged Rafah Hamas, Nasser Musa didakwa sudah terbunuh dalam serangan yang diketuai Komando Selatan di kawasan Khan Younis pada 9 Ogos lalu.

Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dalam kenyataan bersama agensi keselamatan dalaman Israel, Shin Bet, Musa adalah ketua bahagian kawalan ketenteraan Hamas.

Dia bertanggungjawab ke atas kesiapsiagaan serta latihan anggota briged dalam merancang dan melaksanakan aktiviti keganasan terhadap pasukan IDF serta orang awam Israel semasa perang.

Beliau juga dikenali sebagai orang kanan kepada komander Briged Rafah, Muhammed Shabana, yang terbunuh pada Mei lalu.

Sebelum ini, Musa pernah memegang pelbagai jawatan dalam Briged Rafah termasuk pegawai perisikan ketenteraan dan ketua rangkaian pemerhatian.

Menurut tentera Israel, pembunuhan Musa dilihat sebagai satu lagi tamparan hebat terhadap keupayaan Briged Rafah dan Hamas untuk melancarkan serangan terhadap pasukan IDF di kawasan berkenaan.

Khamis lalu, jet pejuang Tentera Udara Israel (IAF) mengebom sebuah bangunan di Khan Younis yang dipercayai digunakan oleh kumpulan pejuang untuk menyimpan roket yang dirancang dilancarkan ke arah Israel dan tentera IDF.

Di bawah kendalian Komando Selatan serta berpandukan perisikan ketenteraan dan Shin Bet, pasukan IDF terus melancarkan operasi di seluruh Semenanjung Gaza.

Divisyen Ke-36 melaksanakan operasi serangan di Khan Younis dengan memusnahkan struktur musuh dan membunuh beberapa sel musuh.

Divisyen Ke-143 pula memusnahkan puluhan infrastruktur ketenteraan di selatan sambil serangan udara IAF membunuh beberapa anggota musuh, manakala di utara, Divisyen Ke-99 membunuh beberapa musuh dan memusnahkan laluan terowong.

Related posts

Leave a Comment