Wanita warga China cederakan pegawai Imigresen

KUALA LUMPUR 14 Ogos – Seorang wanita warga China ditahan selepas bertindak agresif dan mencederakan pegawai kaunter imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA1), kira-kira pukul 7.40 malam

Kejadian berlaku ketika suspek yang berusia 31 tahun bersama seorang lelaki dan dua kanak-kanak sedang melalui pemeriksaan pelepasan imigresen di kaunter terbabit.

Menurut Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), pegawai di kaunter kemudian mendapati semua mereka tidak mempunyai rekod pergerakan masuk dan merujuk perkara itu kepada penyelia pasukan untuk semakan lanjut.

“Bagaimanapun, wanita warga China itu tidak berpuas hati apabila diminta memberi laluan kepada penumpang lain sementara semakan dibuat.

Suspek kemudian memaki hamun pegawai terbabit dengan kata-kata kesat, sebelum menarik tudung dan menolak kepala pegawai imigresen dengan kuat ke arah tiang di hadapan kaunter,” demikian kenyataan AKPS.

Susulan itu, Pegawai Penguatkuasa AKPS memanggil Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC) untuk mengawal keadaan.

AKPS juga memaklumkan, akibat serangan itu, pegawai imigresen wanita terbabit mengalami bengkak di sekitar mata kiri, sakit kepala di bahagian kanan dan lenguh badan, sebelum dirujuk ke Hospital Cyberjaya untuk rawatan dan laporan perubatan.

Satu laporan polis dibuat berkait kejadian itu dan wanita warga China itu kini dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan.

Dia disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam, Seksyen 332 (mencederakan penjawat awam) dan Seksyen 353 (menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam).

“AKPS tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak atas sebarang bentuk kekerasan, penghinaan, atau ancaman terhadap pegawai yang menjalankan tugas.

“Kita mengharapkan pihak terbabit dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” kata kenyataan itu.

Related posts

Leave a Comment