KUALA LUMPUR 14 Ogos – Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa beliau hanya merujuk persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi diputuskan bukan memohon kekebalan atau imunitidaripada tindakan saman.
Perdana Menteri berkata, beliau hanya memohon keputusan apakah tuntutan yang tidak mempunyai asas munasabah (frivolous), tindakan menindas pihak lawan tanpa niat sebenar untuk mendapatkan keadilan (vexatious) dan salah guna proses mahkamah diterima dalam semua kes, termasuk kes sivil.
“Yang dimohon ialah bertanya keputusan mahkamah, apakah mungkin sesiapa saja boleh buat serangan kepada Perdana Menteri, secara frivolous dan vexatious yang mengganggu perjalanan kerja kita?
“Terserah kepada mahkamah. Mahkamah yang buat keputusan, bukan Perdana Menteri. Keputusan itu keputusan mahkamah,” katanya menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) yang memohon penjelasan berhubung dakwaan Anwar memohon diberikan kekebalan dari segi undang-undang untuk menghadapi kes, tak kira sivil ataupun jenayah di mahkamah.
Jun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar bagi merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, antaranya sama ada Perdana Menteri mempunyai imuniti daripada tindakan saman.
Beliau memohon Mahkamah Persekutuan menjawab persoalan, termasuk sama ada mengikut Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan terhad daripada tindakan saman berhubung dakwaan perlakuan peribadi berlaku sebelum pelantikan beliau.
Mahkamah juga dimohon menjawab persoalan sama ada tindakan saman akan menjejaskan keupayaan Perdana Menteri menjalankan tugas eksekutif dan melemahkan prinsip pengasingan kuasa yang termaktub dalam perlembagaan.
Selain itu, memutuskan sama ada prosiding saman akan melanggar hak Perdana Menteri untuk dilayan sama rata di sisi undang-undang seperti diperuntukkan dalam Perkara 8(1) Perlembagaan, terutama apabila tindakan itu satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Presiden PKR itu turut memohon Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi wajib menjalankan siasatan untuk menentukan sama ada saman itu penyalahgunaan proses atau ancaman kepada kepentingan awam, dan jika ya, sama ada ia perlu digantung atau dibatalkan ‘demi mengekalkan tadbir urus berperlembagaan’.
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu), beliau memberitahu setakat Ogos 2025, jumlah akta dan rang undang-undang baharu serta dipinda ialah sebanyak 23, termasuk dua pindaan Perlembagaan yang menyentuh isu warganegara dan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (PSA).
“Tahun 2023, lima akta baru dan 34 akta yang dipinda. Tahun 2024, lima akta baru dan 57 akta yang dipinda.
“Jadi kalau kita lihat perkembangan ini, walaupun masih banyak dalam tindakan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU)dan juga kementerian. Saya ingin tegaskan bahawa ini adalah rekod pentadbiran Kerajaan Madani dalam tempoh dua setengah tahun yang belum dapat ditandingi oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.
Rosol meminta senarai undang-undang yang disifatkan sebagai lapuk yang akan dipinda atau dimansuhkan oleh Kerajaan bagi memastikan ia selaras dengan semangat dan prinsip reformasi yang dilaungkan sebelum ini serta garis masa pelaksanaannya.
Anwar turut menegaskan bahawa sejak 1957, tiada pindaan dan pembaharuan yang dilakukan seperti dalam tempoh dua tahun setengah oleh Kerajaan Madani.
Menjawab soalan tambahan Rosol berhubung Undang-undang Anti-Lompat Parti yang tidak memenuhi kehendak akta berkenaan, Anwar berkata, PH pada ketika itu mencadangkan pindaan Undang-undang Anti-Lompat Parti yang lengkap namun dibantah oleh Ahli Parlimen Bera dan Pagoh.
Katanya, pihak pembangkang tidak boleh menyalahkan kerajaan sedia ada yang hanya mengguna pakai tuntutan wakil mereka.
“Kalau dikemukakan, bawa balik kepada Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC), saya akan cadangkan supaya diperlengkapkan… tetapi kena ingat, yang menghalang dulu itu sebelah sana.
“Jadi, walaupun ada tuntutan atau cadangan baru, tak apalah. Tapi janganlah kita padamkan bahawa yang menghalang dulu itu Yang Berhormat belah sana. Jadi janganlah salahkan kita di sini kerana kita guna pakai tuntutan Yang Berhormat belah sana dan wakil-wakilnya,” katanya.
Nnnn
