KUALA LUMPUR 6 Ogos – Lim Guan Eng (PH-Bagan) mengesyorkan agar Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dan setiap belanjawan menetapkan 10 peratus daripada apa yang diperuntukkan kepada bumiputera diberikan kepada bukan bumiputera.
Katanya, ketika ini peruntukan yang diberikan kepada golongan bukan bumiputera di bawah belanjawan setiap tahun hanya sekadar tiga peratus daripada apa yang diberikan kepada golongan bumiputera.
“Adakah peruntukan tiga peratus ini menunjukkan golongan bukan Bumiputera atau golongan Bumiputera yang diabaikan?
“Justeru, saya ingin mengesyorkan agar RMK13 dan setiap belanjawan menetapkan 10 peratus daripada apa yang diperuntukkan kepada golongan Bumiputera diberikan kepada golongan bukan Bumiputera,” katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Bekas Menteri Kewangan itu menyatakan kekesalan selepas ada Ahli Parlimen pembangkang cuba memainkan sentimen perkauman dengan mengaitkan isu rusuhan kaum 13 Mei 1969 dalam sidang Dewan Rakyat.
Katanya, fitnah tidak berasas didendangkan pembangkang selepas mereka mendakwa RMK13 mengetepikan kepentingan bumiputera.
Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan perbelanjaan untuk bumiputera dalam RMK13 merupakan antara yang tertinggi pernah diperuntukkan oleh kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan.
Katanya, Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) di bawah RMK13 menjadi antara contoh komitmen kerajaan dalam memperkasa ekonomi bumiputera.
“RMK13 ini harus ditelaah oleh kita semua. Jika tidak, timbul dakwaan bahawa peruntukan hanya diberikan kepada Kampung Baru Cina tetapi tiada untuk bumiputera. Ini menunjukkan (pihak yang membuat dakwaan) belum membaca dokumen RMK13,” katanya di Dewan Rakyat.
Sementara itu, Guan Eng mahu Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan sewajarnya tanpa bersikap dwistandard terhadap sebuah sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) di Port Dickson, yang didakwa memasang Jalur Gemilang secara terbalik.
“Kalau Kementerian Pendidikan ingin hukum SJKC ini, pastikan hukuman yang sama juga dikenakan ke atas Kementerian yang melakukan kesilapan serupa agar mengelakkan wujudnya double-standarad atau “antara dua darjat”,” katanya tanpa menamakan kementerian berkenaan.
Beliau mengakui KPM telah berusaha menjalankan reformasi dan ikhtiarnya dan ini harus diberikan sokongan dan galakan.
Nnnn
