KUALA LUMPUR 6 Ogos – Dewan Rakyat masih menganggap enam bekas ahli Parlimen dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai pembangkang walaupun telah mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul berkata, tiada maklumat secara hitam putih diterima daripada enam bekas ahli Parlimen Bersatu berhubung status mereka.
“Setakat yang saya tahu, enam orang ini masih lagi pembangkang. Sebab tidak ada satu ayat pun yang ditulis kepada saya bahawa mereka ini meninggalkan pembangkang untuk menyertai kerajaan.
“Jadi untuk itu, mereka masih di blok ini (pembangkang). Sebab itu saya tak pindahkan mereka. Bagi saya, mereka masih lagi ditakrifkan sebagai orang berhak bertanya dalam blok ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata, isu tersebut sudah dimuktamadkan dan diberikan panduan mengikut lunas Perlembagaan dan juga peraturan mesyuarat.
Beliau berkata demikian selepas Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) bertanyakan status enam bekas ahli Parlimen tersebut sama ada di pihak kerajaan, pembangkang atau atas pagar.
Enam ahli Parlimen itu ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).
Johari turut menegaskan bahawa perlu berlaku adil terhadap keenam-enam Ahli Parlimen berkenaan.
“Tidak adillah untuk katakan mereka ini satu team (pasukan) berbeza. Tak boleh kata begitu. Bagi saya, selagi mana tidak ada hitam putih bahawa akan keluar dan sertai kerajaan, tidak ada.
Di mana kita nak ubah mereka? Jadi saya mengambil sikap bahawa mereka adalah sebahagian daripada pembangkang,” jelasnya.
Bagaimanapun Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mencelah dan berkata bahawa Syed Abu Hussin pernah menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri semasa persidangan Dewan Rakyat.
Johari pula menjelaskan bahawa pernyataan sokongan secara lisan tidak terpakai kerana memerlukan pengesahan rasmi secara hitam putih bahawa mereka adalah sebahagian daripada kerajaan.
“Mereka masih blok di sini (pembangkang). Menyatakan lisan satu hal lain tapi tidak ada pengesahan hitam putih bahawa mereka sebahagian daripada kerajaan,” katanya.
Nnnn
