RM40 bilion bagi sektor kesihatan RMK13

KUALA LUMPUR 31 Julai – Sepanjang tempoh Rancangan Malaysia ke-13 (RM13), sektor kesihatan akan menerima peruntukan sebanyak RM40 bilion sekali gus mengurangkan perbelanjaan rakyat atau dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata, pengurusan rekod kesihatan akan diperkukuh sebagai teras pendigitalan sistem kesihatan di mana usaha ini akan memantapkan keupayaan saling kebolehkendalian merentas fasiliti kesihatan.

“Ini akan menyumbang kepada penjanaan analitik kesihatan berimpak tinggi yang diperkasa dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai usaha mempertingkat kualiti penjagaan kesihatan rakyat,” katanya.

Anwar ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat, hari ini berkata, dalam menangani isu keperluan sumber manusia dalam sektor berkenaan, rangka kerja pembangunan profesional kesihatan peringkat kebangsaan akan dibangunkan.

Ikhtiar katanya merangkumi latihan pra-perkhidmatan, pelesenan dan pendaftaran, pengambilan, penempatan, serta pembangunan kerjaya bagi memastikan pengekalan bakat dalam sektor kesihatan.

Pada Jun lalu, Menteri Kesihatan,  Dr Dzulkefly Ahmad mengakui negara berdepan kekurangan jururawat yang kritikal sementara antara 2020 hingga tahun lalu, seramai 6,919 petugas kesihatan di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) direkodkan meletak jawatan dan beralih ke sektor swasta.

Katanya, ia membabitkan seramai 2,141 jururawat, masing-masing 1,754 lantikan tetap dan 387 lantikan kontrak direkodkan, selain 1,856 pegawai perubatan tetap, p 3,846 pegawai perubatan kontrak dan 1,217 pakar perubatan.

Keadaan itu dikenal pasti berpunca akibat tawaran manfaat yang lebih besar, sekiranya petugas kesihatan terbabit beralih ke sektor swasta.

Tahun lalu, kekurangan jururawat dilaporkan diunjurkan kepada hampir 60 peratus menjelang 2030.

Anwar berkata reformasi kesihatan adalah ikhtiar penting dalam memastikan pembiayaan kesihatan yang mampan dan akses penjagaan lebih meluas dan terangkum.

Ia juga mahu memberi pilihan perkhidmatan kesihatan kepada pengguna disamping terus memastikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan mampu bayar.

Bagi meningkatkan keterjaminan bekalan perubatan, beliau berkata, pembuatan ubat domestik akan digalakkan dan penggunaan ubat generik oleh sektor awam dan swasta akan ditingkatkan.

Dalam usaha menangani risiko kesihatan, cukai pro-kesihatan akan diperluas daripada gula kepada produk seperti tembakau, vape dan alkohol, bukan sekadar untuk hasil, tetapi bagi mendorong perubahan tingkah laku dan membendung peningkatan NCD yang kian membimbangkan.

“Tidak ada sebab mengapa gula harus murah maka akan ada sedikit usaha untuk memberikan mesej yang jelas supaya rakyat tidak terbeban dengan penyakit yang serius,” katanya yang turut menjelaskan penyakit diabetis antara yang tinggi dicatatkan. terutamanya di Kelantan, Negeri Sembilan dan Kedah.

Sepanjang RMK13 juga,  Anwar memaklumkan beberapa hospital dan klinik kerajaan akan dinaiktaraf

Antaranya Hospital Tuanku Ja’afar 2, Seremban, Negeri Sembilan, Hospital Sultanah Aminah 2, Johor Bahru, Pusat Kanser Wilayah Utara, Sungai Petani, Kedah, Pusat Jantung Sabah di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu, Sabah dan Pusat Kanser Sarawak.

Nnn

Related posts

Leave a Comment