KUALA LUMPUR 23 Julai – Anwar Ibrahim mengumumkan 15 September 2025 sebagai hari kelepasan am tambahan bersempena Sambutan Hari Malaysia tahun ini bagi menghargai ukhuwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia
Perdana Menteri berkata, langkah ini juga bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara.
“Ini mudah-mudahan dapat meningkatkan ukhwah, perpaduan dan mengingatkan kita kehebatan pemuka bangsa dalam mengusulkan pembentukan Malaysia negara tercinta,” kata Anwar.
Beliau berkata demikian pada Pengumuman Penghargaan untuk Rakyat Malaysia yang disiarkan secara langsung menerusi semua saluran televisyen utama serta platform media sosial, hari ini.
Sambutan Hari Malaysia 2025 pada 16 September akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth, Pulau Pinang.
Anwar Ibrahim, juga mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Katanya, pemberian bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu, adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
Katanya, jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun ini, dan ini adalah kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.
“Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya di seluruh negara.
Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400,” katanya.
Nnnnn
