KYIV – Timbalan Perdana Menteri Yulia Svyrydenko dilantik mengetuai kerajaan baharu Ukraine menggantikan Denys Shmyhal yang dilantik pada 2020, sebelum pencerobohan Russia pada Februari 2022.
Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dalam satu hantaran di media sosial, berkata beliau “mencadangkan agar Yulia Svyrydenko memimpin Kerajaan Ukraine dan memperbaharui fungsinya secara menyeluruh”.
Zelensky berkata beliau dan Svyrydenko “membincangkan langkah konkrit untuk meningkatkan potensi ekonomi Ukraine, memperluas program sokongan untuk rakyat Ukraine dan memperhebat pengeluaran senjata dalam negara”.
Bagi mencapai matlamat ini, kami sedang memulakan transformasi cabang eksekutif di Ukraine,” katanya lagi.
Svyrydenko pakar dalam bidang ekonomi dan perdagangan yang dilahirkan pada 1985 di wilayah Chernihiv di utara Kyiv, memulakan kerjayanya dalam politik tempatan dan sektor swasta sebelum menyertai kerajaan selepas kemenangan pilihan raya Zelensky pada 2019, sebagai timbalan menteri ekonomi.
Beliau kemudian dilantik sebagai timbalan ketua pejabat presiden dan sejak 2021, memegang jawatan sebagai menteri ekonomi dan timbalan perdana menteri.
Sejak perang bermula, beliau bertanggungjawab dalam usaha mendapatkan bantuan dan pinjaman antarabangsa.
Pertukaran kepimpinan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan sepenuhnya, memandangkan pengaruh Shmyhal dilihat semakin merosot sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Nnnn
