Hospital nafi perlu bayar RM8.3 juta

BANGI 13 Julai – Hospital Islam Az-Zahrah (HIAZ) Bandar Baru Bangi menafikan laporan media bahawa pihaknya perlu membayar RM8.3 juta dalam tempoh 14 hari berhubung isu saman kecuaian perubatan, pada Februari 2003.

Justeru, HIAZ dalam kenyataannya hari ini menegaskan operasi harian hospital berjalan seperti biasa di bawah pengurusan baharu.

HIAZ menjelaskan tindakan perundangan yang dilaporkan media membabitkan kejadian pada tahun 2003, iaitu 22 tahun lalu, ketika hospital berkenaan masih dikenali sebagai Pusat Rawatan Islam Az-Zahrah.

Menurut kenyataan itu, kes berkenaan hanya dibawa ke mahkamah pada 2018 dan membabitkan kelahiran bayi pramatang pada minggu ke-26 pada Februari 2003, yang dirujuk untuk rawatan lanjut di Hospital Putrajaya.

“Berdasarkan rekod, ibu terbabit bersalin anak beliau pada 14 Jun 2002. Manakala, kejadian bagi kelahiran ini adalah pada 26 Februari 2003, iaitu dua kelahiran dalam tempoh 9 bulan.

Ibu kepada bayi datang ke HIAZ dengan keadaan bayi pra-matang pada minggu ke-26 (sekitar 6 bulan setengah) usia bayi. Pakar yang menemui ibu bayi telah melakukan rawatan profesional yang diperlukan.

Walau bagaimanapun, atas pertimbangan yang sewajarnya pada waktu itu, pakar terbabit merujuk ibu bayi ke Hospital Putrajaya. Bayi itu dilahirkan di Hospital Putrajaya. Justeru, ingin dijelaskan bahawa bayi terbabit tidak dilahirkan di HIAZ,” kata kenyataan itu.

Pihak HIAZ menegaskan isu ini hanya membabitkan jumlah hutang yang belum diselesaikan di bawah pengurusan lama dan tidak berkaitan operasi harian hospital sekarang.

“Kini, HIAZ diuruskan oleh pengurusan baharu yang segar, komited, serta berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, pihak pengurusan lama sedang berusaha untuk menyelesaikan jumlah penghakiman yang dituntut pihak terbabit.

“Kami difahamkan oleh pihak pengurusan lama sudah membayar sejumlah wang yang signifikan bagi penghakiman ini,” katanya.

Menurut kenyataan itu, isu ini adalah semata-mata isu jumlah hutang yang belum dilangsaikan dan bukan perkara berkaitan operasi harian hospital yang diuruskan oleh pengurusan baharu.

HIAZ turut memaklumkan akan mengambil tindakan membantah proses penyitaan yang didakwa dilakukan peguam penuntut kerana terdapat kekhilafan dalam proses itu.

Dalam pada itu, HIAZ menyifatkan laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung isu ini sebagai salah lapor yang menyebabkan reputasi buruk HIAZ.

“Pihak HIAZ memandang serius tindakan akhbar ini. Akhbar terbabit menyiarkan gambar suatu kawasan yang sudah ditutup dengan pita keselamatan sedangkan gambar terbabit bukan penutupan hospital.

“Ini merupakan berita yang salah dan memberikan tanggapan buruk kepada pembaca,” katanya.

Selain itu, HIAZ menafikan laporan pihak akhbar terbabit bahawa pihaknya perlu membayar jumlah RM8.3 juta dalam masa 14 hari.

“Pihak HIAZ menyatakan bahawa terdapat proses undang-undang yang masih berjalan.

“Akhbar terbabit juga cuba membawa Menteri Kesihatan terlibat dalam hal ini sehingga beliau dilaporkan memberi arahan supaya pesakit yang sedang berada dalam hospital perlu dipindahkan, seperti yang difahami sebilangan pembaca,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak HIAZ juga sudah menghubungi Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Kementerian Kesihatan bagi menjelaskan perkara sebenar.

“Operasi HIAZ akan berjalan seperti biasa dan kami berterima kasih kepada semua pihak yang terus percaya dan menyokong kami,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment