PRN: BN sedia bergerak solo di Melaka

MELAKA 12 Julai – Barisan Nasional (BN) sedia berdepan dengan sebarang kemungkinan termasuk bergerak secara solo, sekiranya tiada kerjasama politik bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tahun depan.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan, berkata, formula di Melaka tidak sama seperti di Johor, Kelantan, Kedah atau Sabah.

“Di Sabah, kita sudah umumkan akan bersama PH dan juga beberapa parti tempatan yang kita lihat boleh memberi nilai tambah kepada kekuatan kita. Justeru, tidak wujud konsep satu formula untuk semua negeri.

Kita sedang mengkaji dengan teliti supaya strategi yang diambil tidak tersilap langkah,” katanya yang juga Timbalan Presiden UMNO selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Melaka di Telok Mas, di sini, hari ini.

Mohamad berkata persiapan ke arah menghadapi pilihan raya mesti dilakukan secara menyeluruh dan realistik berdasarkan strategi yang memberi kelebihan kepada parti termasuk meraih sokongan padu daripada pengundi.

“Pilihan raya ini ibarat medan perang dan kita mesti `berperang’ dengan persiapan yang rapi. Apa jua bentuk persiapan, ia mesti memberi kebaikan kepada kita.

Jika baik untuk kita bersama (PH), kita akan bersama, tetapi jika bersendirian lebih baik, maka kita akan bergerak sendiri. Namun buat masa ini, beberapa penelitian masih lagi berjalan dan belum dimuktamadkan,” katanya.

Sebelum ini timbul polemik isu perkongsian kerusi antara BN dengan PH di Melaka yang dicetuskan DAP negeri selepas parti itu meluluskan resolusi strategi 14 BN + 14 PH pada PRN Melaka akan datang.

Susulan itu, Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh dipetik mengingatkan PH Melaka supaya tidak terlalu berharap untuk bertanding di kerusi DUN dimenangi BN pada PRN lalu, kerana BN yang mendominasi kerusi DUN di Melaka ketika ini tidak akan melepaskan kerusi terbabit kepada PH.

Tempoh penggal DUN Melaka dijadualkan berakhir pada November tahun depan yang ketika ini mempunyai 28 DUN membabitkan 21 dikuasai BN, PH (lima) dan dua kerusi bawah Perikatan Nasional (PN).

Mohamad yang juga Menteri Luar, berkata, keputusan muktamad akan dibuat selepas mengambil kira semua aspek termasuk landskap politik semasa serta kesesuaian strategi gabungan di setiap negeri.

Related posts

Leave a Comment