MH17: ECHR dapati Russia bertanggungjawab

PARIS – Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) memutuskan Russia bertanggungjawab ke atas insiden menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014 yang menyebabkan 298 orang di dalam pesawat terbunuh.

Pada masa sama, ECHR turut mendapati Moscow berulang kali serta secara sistematik melanggar hak asasi manusia di Ukraine.

ECHR berkata, Russia melakukan serangan tentera secara membuta tuli, hukuman mati tanpa perbicaraan terhadap orang awam, penyeksaan, melakukan paksaan terhadap orang awam tanpa alasan yang sah serta pelbagai pelanggaran lain.

Menjelang keputusan hari ini, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov, berkata Russia tidak akan mematuhi sebarang keputusan mahkamah sambil menegaskan bahawa pihaknya menganggap keputusan itu sebagai tidak sah dan terbatal.

ECHR ialah mahkamah antarabangsa di bawah Majlis Eropah yang berpangkalan di Strasbourg dan pada 2022 Russia dipecat daripada majlis berkenaan susulan pencerobohan ke atas Ukraine.

Parlimen Russia kemudian meluluskan undang-undang pada 2023 untuk menamatkan bidang kuasa ECHR di negara itu.

ECHR menyatakan secara keseluruhan banyak bukti yang dikemukakan di mahkamah menunjukkan tindakan menyalahi undang-undang oleh ejen negara Russia termasuk tentera, pihak berkuasa, pentadbiran pendudukan dan kumpulan pemisah bersenjata dilakukan secara berleluasa di seluruh Ukraine.

Keputusan berkenaan membabitkan empat kes yang digabungkan, salah satunya membabitkan MH17 yang berlepas dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Julai 2014 dan ditembak jatuh di timur Ukraine ketika pertempuran antara tentera Ukraine dan puak pemisah pro-Russia.

Moscow menafikan bertanggungjawab terhadap insiden penembakan itu dan pada 2014 turut menafikan sebarang kehadiran tenteranya di Ukraine.

ECHR memutuskan Russia gagal menjalankan siasatan yang mencukupi terhadap insiden terbabit, gagal bekerjasama dengan permintaan maklumat atau menyediakan penyelesaian undang-undang untuk waris mangsa.

Menurut mahkamah, disebabkan gagal memberi kerjasama serta membuat penafian secara berterusan mengenai sebarang pembabitan ia menyebabkan keluarga mangsa menjadi lebih menderita.

Related posts

Leave a Comment