JOHOR BAHRU 8 Julai – Perdana Menteri Anwar Ibrahim sedang berhadapan suasana “seperti buku bertemu ruas” di dalam partinya sendiri susulan tindakan sembilan Ahli Parlimen PKR mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu kehakiman.
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim berkata, tidak dinafikan bahawa tindakan sembilan Ahli Parlimen backbencher dari PKR yang diketuai Rafizi Ramli itu adalah satu contoh baik dalam sistem Parlimen demokrasi.
“Tetapi dari segi politik dan parti, tindakan ini bermakna sedang berlaku ” revolt” atau penentangan dalaman secara langsung terhadap Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan juga Perdana Menteri yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Anwar Ibrahim sekarang berada dalam keadaan defensive dan kerajaan Madani semakin lemah dan hilang Integriti dengan isu kehakiman sekarang ini,” katanya dalam satu kenyataan melalui Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, tindakan sembilan Ahli Parlimen itu juga dilihat sebagai petanda bahawa mereka sudah hilang kepercayaan terhadap Anwar.
Katanya, jika RCI itu dibentuk kelak, Anwar selaku Perdana Menteri yang mempunyai kuasa perlembagaan dalam pelantikan hakim tidak dapat mengelak daripada menjadi suspek utama untuk disiasat.
“Anwar menjadi suspek utama yang mesti disiasat oleh RCI. Ini adalah implikasi daripada tuntutan sembilan Ahli Parlimen PKR sendiri.
“Tanpa persetujuan Perdana Menteri dan Kabinet, tuntutan mereka ini hanya akan terus memburukkan imej Anwar serta kerajaan pimpinannya. Sembilan Ahli Parlimen PKR ini sebenarnya meletakkan tengkuk Anwar di bawah ‘guillotine’, seperti dalam Revolusi Perancis,” katanya
Semalam sembilan Ahli Parlimen PKR mendesak kerajaan menubuhkan RCI bagi menyiasat dakwaan campur tangan dalam pelantikan hakim dan keputusan kes mahkamah yang kini mencetuskan kebimbangan terhadap kebebasan institusi kehakiman negara.
Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan pada sidang media berkata, kemelut berhubung pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman perlu diberi perhatian segera kerana situasinya kini dilihat mirip skandal video VK Lingam pada 2007 yang membabitkan cubaan mempengaruhi pelantikan Ketua Hakim Negara ketika itu.
Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik; dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Dua lagi Ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S. Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Dalam pada itu Hassan turut mempersoalkan adakah sembilan Ahli Parlimen itu memikirkan semasak-masaknya kepentingan jangka panjang negara dan rakyat; mempertahankan cita cita dan idealisme reformasi sebenar dan mengutamakan kepentingan perjuangan politik PKR dan tidak hanya sekadar kepentingan politik peribadi seorang pemimpin bernama Anwar Ibrahim.
“Jika jawapannya ya, maka tindakan tersebut adalah satu cabaran paling serius, paling sengit dan berani datang dari sembilan Ahli Parlimen yang kebanyakannya adalah senior MP terhadap kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri dan Presiden PKR,” katanya.
Beliau yang juga seorang peguam dan anggota PKR mengakui isu kehakiman yang dibangkitkan kumpulan berkenaan adalah sah, bermerit dan kini menjadi ‘elephant in the room’ atau rahsia terbuka yang tidak boleh diabaikan.
“Tindakan mereka progresif, radikal dan popular dalam kalangan rakyat. Tetapi adakah sembilan Ahli Parlimen PKR ini bersedia jika tindakan mereka mengakibatkan Anwar tumbang?
Jika jawapannya Ya, maka jelaslah satu pemberontakan dalaman sedang berlaku di dalam PKR itu sendiri,” katanya.
Beliau juga melihat perkembangan itu menunjukkan ramai pemimpin PKR, khususnya Ahli Parlimen, sudah hilang sabar dan keyakinan kerana melihat kerajaan Madani terlalu banyak berkompromi sehingga wujud unsur hipokrasi dalam banyak perkara.
Justeru , apabila Anwar pulang dari lawatan luar negara, tugas utama beliau ialah menangani tuntutan sembilan Ahli Parlimen ini dengan bijaksana kerana ini bukan isu kecil, tetapi sangat serius, ibarat buku bertemu ruas dalam partinya sendiri.
Bagaimanapun, Hassan masih yakin terhadap kepemimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri dan akan terus mempertahankan kerajaan Madani.
Nnn
