Pendapatan rakyat rendah, tidak wajar laksana GST

PUTRAJAYA 20 Jun – Kerajaan tidak melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ketika ini kerana nilai ambang pendapatan rakyat masih rendah dan belum mencapai tahap yang wajar untuk pelaksanaannya, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri, berkata walaupun GST adalah sistem percukaian paling efisien dan telus, kerajaan ketika ini memilih tidak melaksanakannya bagi mengelak beban berlebihan kepada golongan berpendapatan rendah.

Beliau masih ingat ketika menjadi Menteri Kewangan suatu masa dulu, beliau nyatakan di Parlimen bahawa GST adalah sistem percukaian yang efisien dan telus, namun terpaksa tangguhkan kerana pendapatan rakyat ketika itu terlalu rendah.

“Tapi sekarang, gaji RM1,700 (gaji minimum), RM2,000 masih ramai. Maka keputusan tidak laksana GST ini dibuat demi rakyat bawahan,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Anwar berkata, walaupun beberapa pengecualian boleh diberikan jika GST dilaksanakan, masih banyak barangan tetap dikenakan cukai secara tidak langsung.

“Walaupun ada beberapa pengecualian, banyak barangan tetap dikenakan cukai secara tidak langsung. Naik bas pun kena cukai. Jadi, walaupun GST ini sistem yang baik, pelaksanaannya perlu mengambil kira kemampuan rakyat.

“Saya sebut dulu, biarlah pendapatan rakyat naik dulu, kalau gaji (minimum) sudah RM4,000, mungkin boleh (pertimbang semula), tetapi sekarang gaji RM1,700, RM2,000 masih ramai,” katanya.

Menjelaskan peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Perdana Menteri berkata, penambahbaikan cukai yang berkuat kuasa 1 Julai ini dilaksanakan secara progresif dan bersasar.

Beliau berkata, pelaksanaan percukaian adalah bagi memastikan hasil negara dapat dikembalikan semula kepada rakyat menerusi peruntukan besar seperti dalam sektor pendidikan dan kesihatan.

“Ambil contoh peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), pada 2023 sebanyak RM8 bilion disalurkan, kini mencecah RM13 bilion untuk manfaat sembilan juta rakyat. Begitu juga pendidikan, kita tambah kepada RM64 bilion untuk sekolah anak-anak kita.

“Kementerian Kesihatan juga terima peningkatan RM4 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan RM45 bilion. Ini bukti cukai yang diambil, kita pulangkan semula kepada rakyat dengan cara paling berfaedah,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri turut mengarahkan semua jabatan kerajaan untuk tidak menggunakan barangan import, terutamanya makanan, dalam acara rasmi bagi menggalakkan penggunaan produk tempatan.

Katanya , penggunaan bahan tempatan dalam acara kerajaan bukan sahaja menyokong ekonomi negara, tetapi turut memberi peluang lebih luas kepada petani tempatan untuk memasarkan hasil mereka.

“Jadi kalau seluruh jabatan kerajaan (laksana arahan ini), maknanya peluang petani untuk mengeluarkan bahan-bahan tempatan lebih banyak,” katanya sambil  membandingkan amalan itu dengan negara jiran yang tegas dalam penggunaan bahan makanan tempatan dalam setiap majlis rasmi.

Beliau memberitahu, di Laos, Vietnam, Thailand, beliau belum pernah makan dalam upacara rasmi jemputan kerajaan-kerajaan ini bahan makanan import.

Nnn

Related posts

Leave a Comment