SEPANG 6 Jun – Kerajaan tidak boleh lepas tangan berhubung keputusan Petronas untuk mengurangkan 5,000 atau 10 peratus daripada tenaga kerjanya.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh berkata, keputusan Petronas itu bukan isu kecil atau sekadar soal pengurusan sumber manusia sebaliknya isu besar melibatkan syarikat milik negara yang menjadi penyumbang utama kepada ekonomi.
“Nasib lebih 5,000 pekerja yang dijangka terjejas tidak boleh dipandang ringan. Mereka bukan sekadar statistik, mereka adalah ibu, bapa, anak muda, pencari nafkah utama dalam keluarga. Mereka harus dibela,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, keputusan yang melibatkan ribuan keluarga perlu disusuli dengan kebertanggungjawaban dan keprihatinan yang tinggi.
Beliau berkata, sejak berdekad lamanya, Petronas adalah lambang kejayaan industri minyak dan gas negara serta institusi yang menjadi penyelamat kepada fiskal negara dalam banyak keadaan.
Justeru, beliau mendesak kerajaan segera campur tangan dan memastikan kebajikan semua pekerja yang terlibat dijaga sebaiknya, dengan pendekatan yang adil dan berperikemanusiaan.
“Audit menyeluruh dan laporan telus mengenai kedudukan sebenar Petronas perlu dibentangkan kepada rakyat, memandangkan ia adalah entiti milik negara.
Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sumber Manusia perlu tampil dengan pelan mitigasi dan sokongan konkrit, termasuk latihan semula dan penempatan pekerjaan bagi mereka yang terkesan,” katanya.
Dr Akmal juga mahu satu sesi libat urus antara Petronas, kerajaan, dan kesatuan pekerja perlu diadakan segera, bagi memastikan sebarang langkah penstrukturan tidak dilaksanakan secara sepihak tanpa pertimbangan sosial yang wajar.
Beliau juga menarik perhatian, Petronas telah mengharungi pelbagai cabaran global sebelum ini termasuk kejatuhan harga minyak, ketidaktentuan geopolitik dan perubahan dasar tenaga namun tetap berjaya berdiri kukuh.
Sebagai contoh, pada tahun 2016 ketika harga minyak jatuh ke paras sekitar USD44 setong, Petronas hanya mengurangkan kira-kira 1,000 pekerja.
Sebaliknya kini, dengan purata harga minyak pada USD65 setong (2025), mengapa pengurangan kali ini mencecah 5,000 pekerja, iaitu 10% daripada keseluruhan tenaga kerja?
Beliau turut mempersoalkan mengapa keuntungan Petronas terus merosot walaupun harga minyak kekal stabil dan tinggi, dan adakah pengurusan operasi dan pelaburan syarikat hari ini benar-benar berada di landasan yang betul.
“Pada tahun 2020, ketika harga minyak juga rendah (sekitar USD40), tindakan seumpama ini tidak diambil. Ini menimbulkan persoalan besar. Adakah benar-benar harga minyak menjadi punca utama kali ini, atau ada faktor lain yang tidak didedahkan kepada rakyat?
Tambahan pula, jika sebelum ini kadar tukaran USD kepada Ringgit pada paras 3.80 dianggap petanda ekonomi negara sedang lemah, adakah sekarang, dengan kadar tukaran mencecah 4.75, kerajaan masih mahu meyakinkan rakyat bahawa ekonomi kita dalam keadaan baik?
Kenyataan bahawa ekonomi negara sedang pulih dan berada di landasan yang betul kini kelihatan tidak selari dengan realiti di lapangan, termasuk keputusan drastik seperti yang diambil oleh Petronas,” katanya.
Nnnn
