JOHOR BAHRU 6 Dis. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, muncul sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) pertama di negara ini membangunkan telaga air akuifer batuan sendiri sebagai sumber alternatif bekalan air bersih.
Naib Canselor UTM, Prof Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata punca air jernih dan bersih berkenaan ditemui di hutan rekreasi universiti itu sejak 2021.
Katanya, penemuan penyelidik UTM itu bakal memberi manfaat kepada warga universiti bukan saja sebagai sumber alternatif bekalan air bersih dalam kampus, malah dapat membantu menjimatkan perbelanjaan kos operasi universiti.
Projek ini dicetuskan oleh pengurusan tertinggi UTM serta pihak lembaga pengarah yang ingin melihat teknologi dibangunkan oleh penyelidik UTM dapat memberi manfaat kepada masyarakat terutamanya pelajar, pensyarah dan staf dalam UTM.
“Kita mahu melihat ada juga teknologi dibangunkan UTM diguna pakai sendiri warga UTM sehinggalah kita memulakan projek akuifer batuan dengan sistem penapis teknologi membran ini.
“Ini akuifer batuan pertama di Malaysia yang kita juga tidak jangka akan menemuinya dalam UTM sendiri. Kita berpendapat ini menjadi titik tolak untuk memperkaya dan memperkasakan teknologi tempatan secara global,” katanya.
“Selepas ini, kita usahakan pembotolan pula. Mungkin akan ambil masa setahun kerana kita perlu dapatkan kelulusan banyak agensi,” katanya.
