KULIM 10 Julai – Anak sulung kepada dua beradik yang menjadi mangsa keropok beracun meninggal dunia ketika masih dalam rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Azizul Mohd Khairi, berkata Muhammad Akil Syauqi, 3 meninggal dunia pukul 8.30 pagi ini
Beliau berkata, adik mangsa yang turut terbabit dalam kejadian itu, Muhammad Luth Syauqi, 2, masih dirawat di hospital sama.
Dalam kejadian Ahad lalu, dua beradik lelaki itu kritikal selepas memakan makanan ringan berupa keropok dipercayai mengandungi racun tikus yang dipasang penduduk Kampung Padang Ubi.
Makanan ringan itu didakwa digantung pada pagar dawai dipasang pemilik kebun, dipercayai untuk tujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman.
Difahamkan, lokasi kejadian itu terletak kira-kira 50 meter dari rumah mereka.
Susulan kejadian itu, dua beradik terbabit dilaporkan mengalami muntah-muntah dan menggelupur seperti diserang sawan sebelum dikejarkan keluarga ke Klinik Kesihatan Malau dan Hospital Kulim (HK) untuk rawatan lanjut.
Dua beradik itu kemudian dirujuk ke HPP selepas keadaan mereka semakin kritikal.
Susulan kejadian itu, kes terbabit disiasat polis mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta 611 berkaitan pengabaian terhadap kanak-kanak dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan.