KUALA LUMPUR 26 Sept. – “Apa itu Merpati?” soal peguam kepada Najib Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, ketika diajukan soalan pemberita selepas prosiding perbicaraan sesi pagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau menolak dakwaan layanan istimewa diberikan kepada bekas perdana menteri itu yang sebelum ini tular di media sosial dengan rujukan nama ‘Kod Merpati’.
Muhammad Shafee menyifatkan sebagai mengarut berhubung dakwaan bahawa anak guamnya itu menerima layanan istimewa ketika dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan pemantauan lanjutan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).
Menurut Muhammad Shafee, jika Najib mendapat layanan istimewa, sudah tentu beliau akan diberi bilik khas untuk makan tengah hari di mahkamah ketika prosiding berhenti rehat.
“Sangat mengarut. Ia adalah bilik standard (di HRC) bagi sesiapa sahaja yang memerlukan rawatan dari penjara,” katanya.
Beliau memberitahu, selepas balik dari Melbourne baru-baru ini, sebagai peguam, beliau mahu melawat Najib pada Sabtu dan Ahad lalu tetapi diberitahu tidak boleh beri pengecualian banyak kali.
“Ia sama sahaja seperti ketika saya berurusan dengan banduan lain.
“Jadi apa yang istimewanya saya tidak faham. Mungkin berhubung makanannya kerana tidak boleh makan pedas dan berminyak disebabkan oleh ulser perut yang dihadapi.. secara umum mereka memantau pemakanannya,” katanya.
Muhammad Shafee berkata, Najib menjalani rawatan fisioterapi di HRC yang berkemungkinan berkaitan beberapa keadaan kesihatan seperti masalah lutut dan belakang yang dihadapinya ketika menjadi perdana menteri.
Katanya, Najib disyorkan menerima rawatan di HRC kerana rawatan diterima di HKL tidak memadai.
Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.
Beliau dimasukkan ke HKL minggu lalu dan dikatakan menghadapi masalah ulser perut dan darah tinggi.
