Lubnan tidak akan serah tanah walau seinci

BEIRUT – Kerajaan Lubnan tidak akan menyerahkan ‘walau seinci’ pun wilayah negara itu kepada Israel dan menegaskan rundingan dengan Israel adalah jalan diplomatik untuk mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah.

Presiden Lubnan, Joseph Aoun, menegaskan rundingan negaranya dengan Israel bukan satu pengkhianatan, sebaliknya usaha melalui saluran diplomatik bagi memastikan Israel berundur sepenuhnya dari wilayah Lubnan.

Kenyataan itu dibuat selepas Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, berkata bahawa tenteranya akan terus berada di kawasan yang didakwanya sebagai ‘zon keselamatan’ di Lubnan, Syria dan Semenanjung Gaza sehingga diberitahu kelak

Lubnan sebelum ini menandatangani perjanjian rangka kerja yang disokong Amerika Syarikat (AS) dengan Israel bagi membuka jalan ke arah keamanan antara kedua-dua negara.

Bagaimanapun, langkah itu mencetuskan bantahan hebat daripada Hizbullah yang disokong Iran.

Perjanjian rangka kerja itu memperuntukkan tentera Lubnan mengambil alih kawalan secara berperingkat di selatan negara itu ketika Hizbullah melucutkan senjata dan Israel berundur.

Bagaimanapun, perjanjian itu tidak menetapkan sebarang tempoh masa bagi pelaksanaannya manakala butiran pelaksanaannya akan diperincikan dalam lampiran keselamatan yang masih belum didedahkan kepada umum.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ketika melawat ‘zon keselamatan’ di selatan Lubnan pada Selasa, sekali lagi menegaskan tenteranya akan terus berada di kawasan itu selagi Hizbullah masih dianggap sebagai ancaman

Related posts

Leave a Comment