WASHINGTON – Iran tidak akan lagi wujud jika Amerika Syarikat (AS) terpaksa menyambung semula peperangan, ketika AS tidak lagi mampu bertolak ansur dan terpaksa menyempurnakan secara ketenteraan apa yang sudah dimulakan.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika memberi amaran itu menerusi hantaran di platform Truth Social miliknya turut menuduh Tehran melanggar perjanjian gencatan senjata.
“Pesawat AS baru sahaja menyerang lokasi simpanan peluru berpandu dan dron Iran, serta tapak radar pantai Irankerana sekali lagi melanggar Perjanjian Gencatan Senjata!
“Mungkin akan tiba satu ketika apabila kami tidak lagi mampu bertolak ansur dan terpaksa menyempurnakan secara ketenteraan apa yang sudah mulakan dengan begitu berjaya. Jika itu berlaku, Republik Islam Iran tidak akan lagi wujud!” katanya.
Sementara itu, tentera AS mengesahkan melancarkan serangan baharu ke atas Iran beberapa jam selepas sebuah kapal tangki diserang di Selat Hormuz.
Kedua-dua pihak yang bertelagah saling menuduh masing-masing melanggar perjanjian yang dicapai bagi menamatkan konflik selama empat bulan itu.
Markas Pemerintahan Pusat Amerika Syarikat (CENTCOM), berkata tenteranya melancarkan serangan baharu selepas sebuah kapal tangki Panama diserang dron Iran, semalam.
“Iran diberi peluang untuk mematuhi perjanjian gencatan senjata tetapi memilih untuk tidak berbuat demikian,” menurut kenyataan CENTCOM.
Menurutnya, serangan itu dilancarkan sebagai tindak balas langsung terhadap tindakan agresif berterusan Iran terhadap perkapalan komersial dan menyasarkan kemudahan pengawasan tentera, komunikasi, pertahanan udara, simpanan dron serta fasiliti pemasangan periuk api.
Nnn
