Seluruh Iran boleh dihapuskan satu malam

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran kepada Iran bahawa “seluruh negara boleh dihapuskan dalam satu malam, dan malam itu mungkin malam esok.”

Trump berkata beliau akan mengarahkan serangan besar-besaran ke atas loji janakuasa awam dan jambatan di Iran pada malam ini sekiranya Tehran gagal mencapai perjanjian bagi menamatkan perang lima minggu dengan negara itu.

“Saya harap saya tidak perlu melakukannya,” kata Trump pada sidang media di Rumah Putih menjelang tarikh akhir pukul 8 malam (waktu tempatan) yang ditetapkannya untuk Iran mematuhi syarat AS.

Trump menuntut Iran meninggalkan hasrat memiliki senjata nuklear serta membuka semula Selat Hormuz, laluan perairan penting bagi transit minyak.

Beliau berkata, AS mempunyai pelan di mana setiap jambatan di Iran akan dimusnahkan sepenuhnya menjelang tengah malam dan setiap loji janakuasa di Iran akan tidak lagi beroperasi, terbakar, meletup dan tidak akan digunakan lagi.

“Maksud saya, pemusnahan sepenuhnya — menjelang jam 12 tengah malam, dan ia boleh berlaku dalam tempoh empat jam jika kami mahu. Kami tidak mahu perkara itu berlaku,” katanya.

Pengkritik menyatakan Trump berpotensi melakukan jenayah perang sekiranya AS menyerang loji janakuasa awam, namun beliau menolak dakwaan itu pada Isnin.

“Saya tidak bimbang mengenainya. Anda tahu apa itu jenayah perang? Memiliki senjata nuklear,” katanya dalam acara untuk kanak-kanak di South Lawn, Rumah Putih.

Ketua Pentagon, Pete Hegseth, berkata pada sidang media sama bahawa serangan paling berat sejak konflik Iran bermula akan berlaku pada Isnin dan memberi amaran Selasa akan menyaksikan tindakan lebih besar.

Terdahulu, Trump memberitahu wartawan pada acara ‘Easter’ bahawa cadangan yang dikemukakan Iran adalah tidak mencukupi.

“Mereka mengemukakan cadangan, dan ia cadangan yang signifikan. Ia langkah penting. Tetapi ia tidak mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, perang boleh berakhir dengan cepat sekiranya Iran melakukan ‘apa yang perlu dilakukan’.

Tanpa mengemukakan bukti, Trump mendakwa bahawa AS mempunyai ‘pelbagai pintasan komunikas’ daripada orang awam Iran yang menggesa Washington tidak menghentikan usaha menggulingkan kerajaan Iran.

NNn

Related posts

Leave a Comment