Wanita pesara rugi RM260,000

KUANTAN 23 Nov. – Seorang wanita, pesara berusia 61 tahun dari Lipis mendakwa kerugian RM260,950 selepas diperdaya individu menyamar pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Wanita itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada suspek mendakwa pegawai NSRC yang memaklumkan dia terbabit aktiviti judi dalam talian dan pengubahan wang haram.

Dalam kejadian 29 September lalu itu, panggilan telefon kemudian disambungkan kepada seorang lagi suspek mendakwa pegawai polis.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata dalam laporan polis dibuat semalam, mangsa diarah memindahkan wang simpanan Tabung Haji (TH) berjumlah RM120,000 ke dalam akaun bank miliknya pada 27 Oktober.

Katanya , suspek turut mengarahkan wanita itu menyerahkan kad ATM bersama nombor pin dengan diletakkan di lokasi yang diberi, kononnya bagi tujuan siasatan oleh Jabatan Audit Negara.

“Mangsa mula menyedari ditipu selepas mendapati wang dalam akaun bank miliknya sebanyak RM260,950, termasuk dari simpanan Tabung Haji yang dipindahkan ke akaun itu dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Yahya menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.

Yahaya mengingatkan masyarakat supaya sentiasa peka terhadap jenayah penipuan secara dalam talian kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah dan semakin canggih terutama dengan perkembangan teknologi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment