SEPANG 29 Mac – Seorang pemimpin Pas mencadangkan supaya kerajaan memansuhkan peruntukan RM3.5 juta yang diagihkan kepada setiap Ahli Parlimen kerajaan sebagai langkah penjimatan susulan ketegangan berterusan di Asia Barat.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata langkah sedemikian bakal menyaksikan penjimatan lebih besar, berbanding cadangan supaya elaun petrol Ahli Parlimen berjumlah RM1,500 dikurangkan.
“Mansuhkan sahaja peruntukan RM3.5 juta untuk ahli parlimen kerajaan, penjimatannya lebih besar. Kerajaan boleh terus bantu rakyat sebagaimana kerajaan bantu rakyat di kawasan parlimen pembangkang.
Bukankah itu lebih berkesan? Penjimatan sekitar setengah billion untuk setahun. Saya yakin kerajaan boleh bersetuju. Kemudian jika nak mansuhkan elaun petrol juga, terpulanglah,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau mengulas laporan memetik Majlis Belia Malaysia (MBM) yang mengemukakan empat cadangan utama kepada kerajaan sebagai langkah mengimbangi impak tekanan global akibat ketegangan di Asia Barat termasuk menyemak semula elaun petrol 222 Ahli Parlimen.
Setiausaha Agung MBM, Ahmad Farhan Rosli, berkata langkah untuk menyemak semula dan mengurangkan elaun petrol semua Ahli Dewan Rakyat itu boleh dianggap sebagai simbol kepemimpinan melalui teladan dan solidariti nasional.
MBM juga menyarankan kerajaan memperluas subsidi BUDI diesel dan melonggarkan syarat pemilik kenderaan persendirian dengan kuota munasabah sekitar 300 liter sebulan serta mempercepat usaha mempelbagaikan sumber tenaga negara dengan meneroka bekalan alternatif di luar negara Teluk.
Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, secara peribadi beliau tiada masalah jika kerajaan mahu melaksanakan cadangan mengurangkan elaun petrol itu.
“Tetapi penjimatan diperoleh tidaklah signifikan sangat, RM1,500 didarab dengan 222 Ahli Parlimen, itu pun jika dipotong jumlah ahli Kabinet yang tiada peruntukan elaun petrol, berapakah penjimatan sebulan,” katanya.
Nnnn
