WASHINGTON – Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) menawarkan ganjaran AS$10 juta (RM47 juta) bagi memperoleh maklumat mengenai pemimpin tertinggi baharu Iran, Mojtaba Khamenei serta beberapa pegawai kanan lain.
Turut menjadi antara 10 individu yang disenaraikan oleh Jabatan Negara AS itu adalah Menteri Dalam Negeri Iran, Eskandar Momeni; dan Menteri Perisikan serta Keselamatan Iran, Esmail Khatib.
“Individu ini memimpin dan mengarahkan pelbagai elemen dalam Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) yang merancang, menyelaras dan melaksanakan kegiatan keganasan di seluruh dunia,” menurut kenyataan Jabatan Negara.
Agensi itu turut menggesa pemberi maklumat menyalurkan maklumat melalui Tor atau Signal malah menyatakan ‘maklumat anda boleh melayakkan anda dipindahkan ke lokasi lain (dilindungi) serta menerima ganjaran’.
Program ‘Rewards for Justice’ yang dikendalikan Jabatan Negara menawarkan ganjaran wang tunai bagi maklumat risikan yang membawa kepada penangkapan atau pendakwaan individu yang dikehendaki.
Bapa kepada Mojtaba, Ali Khamenei, terbunuh dalam satu pengeboman pada 28 Februari lalu ketika bermulanya perang antara AS-Israel dengan Iran.
Terdahulu, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, pada sidang media di Pentagon pada Jumaat mendakwa Mojtaba, cedera dan berkemungkinan mengalami kecacatan’ dalam serangan AS-Israel ke atas negara itu.
“Dia mengeluarkan kenyataan semalam – sebenarnya kenyataan yang lemah – tetapi tiada suara dan tiada video. Ia hanya kenyataan bertulis,” kata Hegseth.
Ketua Pentagon itu tidak mengemukakan sebarang bukti bagi menyokong penilaiannya, manakala Iran juga tidak memberikan sebarang butiran mengenai keadaan Khamenei.
Pemimpin Iran turut tidak segera memberikan reaksi terhadap dakwaan Hegseth.
Pada Khamis, Khamenei mengeluarkan kenyataan awam pertamanya sejak mengambil alih jawatan pemimpin tertinggi susulan pembunuhan bapanya, Ayatollah Ali Khamenei, pada 28 Februari, hari pertama serangan AS-Israel ke atas Iran.
Dalam kenyataan bertulis yang dibacakan di televisyen negara Iran, Mojtaba berkata Iran akan menyerang semua pangkalan AS di rantau itu kecuali ia ditutup segera, selain berikrar mengekalkan penutupan Selat Hormuz.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pejuang berani yang melakukan tugas dengan cemerlang ketika negara kita berada di bawah tekanan dan serangan,” kata pemimpin Iran itu, yang belum kelihatan di khalayak umum sejak perang bermula.
Presiden AS, Donald Trump, awal minggu ini berkata beliau ‘tidak gembira’ dengan pelantikan Khamenei sebagai pemimpin tertinggi baharu Iran, sambil memberi bayangan bahawa beliau mungkin menjadi sasaran dan dibunuh seperti bapanya.
“Saya tidak tahu sama ada ia akan bertahan lama. Saya fikir mereka melakukan kesilapan,” kata presiden AS itu pada Isnin.
Nnnn
