Tolak ‘Rumah Bangsa’ selagi wujud ‘UMDAP’

SEPANG 7 Mac – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menolak pelawaan  Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menyertai ‘Rumah Bangsa’ selagi parti itu bekerjasama dengan DAP.

Isham yang dipecat daripada UMNO pada 2023, menegaskan tidak berminat untuk menyertai gagasan itu kerana ia masih berada dalam kerangka Kerajaan Madani sekali gus menunjukkan masih wujud kaitan kerjasama UMNO dengan DAP.

Beliau pada masa yang sama menyarankan Presiden UMNO yang juga Timbalan Perdana Menteri bertemu pemimpin parti itu yang pernah dipecat dan digantung sebelum ini bagi menyatakan permohonan maaf sebelum menjemput mereka menyertai perjuangan berkenaan.

Isham menyebut beberapa nama seperti bekas Naib Presiden UMNO,  Hishammuddin Hussein, selain Khairy dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan serta lain-lain yang menerima tindakan parti sebelum ini.

“Minta maaf kepada mereka sebelum jemput mereka masuk UMNO semula jika mereka mahu. Bagi saya, tidak perlu jemput atau datang jumpa saya sebab saya sudah beberapa kali beritahu yang selagi dia bekerjasama dengan DAP saya tidak akan masuk.

Titik. Tidak perlulah tanya saya banyak kali soalan ini kerana jawapan saya tetap sama,” katanya melalui kenyataan di Facebook.

Pendiriannya itu berbeza dengan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang menjadi antara individu terawal secara terbuka mengumumkan mahu kembali menyertai parti itu menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’.

Ahmad Zahid sebelum ini dilaporkan berkata, UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat dan digantung keahlian untuk kembali ke parti itu tanpa syarat.

Pelawaan di bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ juga dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama dengan perjuangan UMNO.

Isham berkata, Ahmad Zahid perlu menurunkan ego dan bertemu dengan pemimpin yang dipecat atau digantung UMNO sebelum ini sekiranya beliau ikhlas mahu mereka kembali kepada parti.

“Dia perlu turunkan ego dan pergi jumpa mereka yang dipecat dan gantung itu dan minta maaf kepada mereka, bukan suruh orang-orang yang dipecat dan gantung itu pergi menghadapnya,” katanya.

Beliau juga merasakan parti-parti Melayu akan menyertai ‘Rumah Bangsa’ selagi UMNO menyokong DAP dalam kerajaan.

“Saya tidak rasa parti-parti Melayu akan ikut ajakan mereka untuk masuk Rumah Bangsa Madani selagi mereka sokong DAP dalam kerajaan. Tidak ada parti Melayu yang akan ikut masuk Rumah Bangsa kamu untuk terus sokong DAP berkuasa, itu tidak masuk akal,” katanya.

Isham yang pernah menjadi Ketua Penerangan UMNO juga berpandangan UMNO yang dilihat terdesak susulan kerjasama dengan DAP yang menjadi sebahagian parti dalam Pakatan Harapan (PH) dijangka berdepan nasib buruk pada pilihan raya kelak.

“Kini mereka perlu bayar kifarah ini. Mereka tidak boleh harapkan rakyat untuk percaya mereka lagi dengan mengubah haluan kononnya untuk penyatuan setiba musim pilihan raya. Siapa boleh jamin selepas pilihan raya mereka tidak akan sokong Anwar dan DAP semula,” katanya.

Related posts

Leave a Comment