8 parti politik sertai musyawarah isu Islam, Bumiputera

KUALA LUMPUR 5 Mac  – Lapan parti politik berteraskan Islam, Melayu dan Bumiputera menyertai Musyawarah Isu-Isu Islam dan Bumiputera di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Pertemuan yang bertujuan berbincang serta mencari titik persefahaman mengenai isu kepentingan agama dan kaum itu disertai wakil UMNO, Pas, PKR, Amanah, Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Berjasa, Kimma, dan Parti Ikatan Bangsa (Ikatan).

Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam perkongsian melalui Facebook berkata, beliau diamanahkan oleh Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mempengerusikan musyawarah kali pertama ini yang dicetuskan beliau untuk menghimpunkan pelbagai parti tidak kira dari blok kerajaan mahupun pembangkang demi maslahah ummah dan Islam.

“Musyawarah ini menjadi wahana penting untuk bertukar pandangan secara terbuka demi mencari titik persefahaman dalam perkara-perkara yang menyentuh kepentingan bersama yang melibatkan Islam, Melayu dan Bumiputera di negara ini,” katanya.

Asyraf Wajdi berkata dalam sistem demokrasi, parti politik boleh berbeza pandangan sama ada berada di blok kerajaan mahupun pembangkang dan ia adalah lumrah dalam politik.

“Namun apabila menyentuh soal kepentingan Islam, kedudukan Melayu serta masa depan Bumiputera, ia seharusnya menjadi titik temu yang menyatukan kita semua melangkaui perbezaan politik kepartian,” katanya.

Beliau berkata, menerusi pertemuan itu, semua sepakat sepakat untuk ditubuhkan Sekretariat Musyawarah Parti-Parti Teras Islam, Melayu dan Bumiputera sebagai platform yang akan menyediakan ruang untuk rundingan.

“Platform rundingan atau wahana itu akan menyediakan ruang untuk perbincangan, perundingan dan dialog terbuka, tulus dan telus secara berterusan dalam isu-isu berkepentingan bersama menyentuh kedudukan Islam, Melayu dan Bumiputera,” katanya.

Nnn

Related posts

Leave a Comment