ART : Malaysia tidak perlu terburu-buru

KUALA LUMPUR 24 Feb. – Malaysia tidak akan terburu-buru membatalkan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dengan Amerika Syarikat (AS) yang dimeterai 26 Oktober lalu, selepas Mahkamah Agung negara itu membatalkan tarif import yang diperkenal Presiden Donald Trump.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata, kerajaan tidak akan terburu-buru membuat keputusan dengan perkembangan berlaku di AS itu sebaliknya perlu diberi ruang dan masa untuk melihat tindak balas dibuat Trump ke atas keputusan mahkamah itu.

“Mengapa kita nak terburu-buru… kerana Mahkamah Agung AS putuskan tiga hari yang lalu, hari ini kita kena putus ikut keputusan Mahkamah Agung, saya tidak setuju,” katanya

Menjawab soalan tambahan  Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) pada sesi pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dalam membuat keputusan, kerajaan perlu melihat soal kepentingan dan implikasinya kepada ekonomi negara.

Kalau teliti sekarang perkembangan di AS, hari-hari ada perbahasan sengit tentang peruntukan undang-undang yang menyebabkan Mahkamah Agung AS membuat keputusan. Kemudian perbahasan di Kongres (di AS).

“Maknanya kalau kita buat keputusan (sekarang), (kemudian) Kongres (AS) berfikir lain, kemudian Trump buat beberapa keputusan tentang menggunakan peruntukan-peruntukan lain, itu belum terjangkau oleh kita sekarang.

“Saya bimbang kalau kita buat keputusan selepas kita ada perjanjian, tapi perjanjian itu (sendiri) pun belum dimuktamadkan. Saya tanya menteri sebab berapa bulan sudah dan belum ada proses ratifikasi. Iaitu AS belum sambut, jadi kita biarlah dulu. Jadi perjanjian ini belum diratifikasi, itu penting,” katanya.

Berhubung saranan Hasan Karim (PH-Pasir Gudang) yang menggesa supaya kerajaan membatalkan ART Malaysia-AS yang dimeterai tahun lalu, Perdana Menteri meminta kerajaan diberi ruang untuk menilai kesannya terhadap ekonomi negara.

“Sebab itu saya katakan untuk kerajaan seluruhnya, beri sedikit ruang dan masa kerana apa keputusan kita buat hari ini.. ya, mungkin boleh kata bunyi gegak gempita, hebat. Tetapi apa risikonya kepada ekonomi negara.

“Kalau soal maruah dan kedaulatan, itu soal lain. Tapi kalau soal strategi perdagangan, kita kena ambil kira kepentingan negara. Itu saja yang saya minta.

Saya tidak mahu pertikai keputusan atau pandangan Pasir Gudang (Hasan). Saya cuma nak kata, beri ruang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Lim Guan Eng (PH-Bagan), Anwar berkata memutus ART secara tergesa bukan pilihan sebaiknya, memandangkan isu ini membabitkan nilai ekonomi besar, di mana eksport Malaysia ke AS mencecah RM233.1 bilion, sementara perdagangan dua hala Malaysia-AS itu berjumlah RM367.5 bilion.

“Apa kerugian kita setakat ini… dari tinjauan kita, hampir tidak ada (kerugian) kerana syarikat AS itu juga beroperasi di sini… mungkin ada kesan sedikit, tetapi tarif itu kepada syarikat di AS, syarikat yang berdagang atau melabur di Malaysia, jadi tarif itu dikenakan kepada mereka.

“Setakat ini, sampai semalam maklumat dari MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri), belum terkesan syarikat-syarikat tempatan yang terkena.

“Sekali lagi saya tekankan, tarif itu adalah pada syarikat AS yang berdagang di negara kita. Strategi Presiden Trump ialah memaksa syarikat-syarikat itu melabur di AS dan tidak di negara luar. Jadi itu yang setakat yang berlaku hari ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment