Pengunduran Israel bergantung kepada Hamas

NEW YORK – Proses pengunduran tentera Israel di Gaza mesti merangkumi penamatan dan pelupusan senjata Hamas melalui mekanisme dipersetujui, termasuk program pembelian balik senjata yang dibiayai dana antarabangsa.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Mike Waltz, berkata Hamas masih mengekalkan kawalan ke atas hampir separuh wilayah Gaza susulan perjanjian gencatan senjata Oktober lalu.

Beliau berkata, perjanjian itu ada hubungan dengan pengunduran selanjutnya tentera Israel dan kesediaan Hamas menyerahkan senjata.

Katanya, AS bersama 26 negara anggota Lembaga Pengaman Trump dan rundingan Jawatankuasa Kebangsaan Palestin diselia badan itu akan mengenakan tekanan ke atas Hamas supaya melucutkan senjata.

Hamas tidak boleh mempunyai sebarang peranan dalam pentadbiran Gaza, sama ada secara langsung mahupun dalam apa juga bentuk.

“Semua infrastruktur keganasan dan ketenteraan berbahaya, termasuk terowong serta kemudahan pengeluaran senjata akan dimusnahkan dan tidak boleh dibina semula.

“Pemantau antarabangsa bebas akan menyelia proses pengunduran tentera di Gaza, termasuk memastikan senjata yang diserahkan sama sekali tidak boleh digunakan lagi.

Ini dilakukan menerus nyah senjata yang dipersetujui serta disokong program pembelian balik dan penyepaduan semula dibiayai dana antarabangsa,” katanya.

Kenyataan beliau kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) yang dianggotai 15 negara semalam, adalah perkara ke-13 daripada 20 usul pelan damai Gaza dikemukakan Trump.

Waltz berkata, AS mengalu-alukan dan berterima kasih kepada rakan yang bersetuju menyumbang bagi Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF), namun republik itu masih belum mengumumkan negara bersetuju untuk menyumbang.

“ISF akan mula menegakkan kawalan dan kestabilan, supaya Angkatan Pertahanan Israel dapat berundur dari Gaza berdasarkan piawaian, penanda aras dan tempoh dikaitkan dengan pengunduran tentera.

“Perkara ini akan dipersetujui tentera Israel, ISF serta penjamin perjanjian gencatan senjata, AS, Mesir dan Qatar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment