Nasi kandar Warisan Negeri Pulau Pinang

TANJONG 29 Jan. – Sepuluh makanan tradisional dan enam item warisan kebudayaan tidak ketara Pulau Pinang diisytiharkan sebagai Warisan Negeri selepas kesemua pencalonan melalui proses saringan dan penilaian terperinci oleh Jawatankuasa Pakar Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (Sosiobudaya).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata Warta Perisytiharan Negeri itu diluluskan pada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri pada 10 Disember 2025.

Beliau berkata 10 makanan tradisional yang diangkat sebagai warisan negeri ialah nasi kandar, pasembor, char kuekak, oh chien, kerabu bihun, mi Hokkien, mi udang, mi sotong, mi Jawa dan roti Benggali.

Kon Yeow berkata enam item warisan kebudayaan tidak ketara yang diiktiraf pula adalah budaya nasi kandar, budaya kopitiam, perarakan Thaipusam, perarakan Chingay, perayaan St. Anne Bukit Mertajam serta loghat bahasa Tanjong Pulau Pinang.

“Pulau Pinang sememangnya dikenali sebagai negeri yang kaya dengan sejarah serta kepelbagaian budaya hasil keharmonian masyarakat berbilang kaum yang membentuk identiti unik negeri itu sejak sekian lama.

“Kesemua elemen warisan ini, termasuk makanan, perayaan, adat resam dan amalan sosiobudaya membentuk khazanah kebudayaan Pulau Pinang yang wajar dipelihara dan dipertahankan untuk generasi akan datang,” katanya pada majlis pemakluman pewartaan itu di Komtar di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua item itu mempunyai nilai sejarah dan budaya yang telah diamalkan oleh masyarakat Pulau Pinang seawal kurun ke-19 dan kekal relevan sehingga kini.

Katanya , pewartaan itu bukan sahaja bertujuan memelihara dan memulihara warisan kebudayaan negeri, malah sebagai usaha mempromosikan keunikan Pulau Pinang kepada masyarakat dalam dan luar negeri serta langkah strategik bagi memastikan warisan yang diamalkan sejak turun-temurun tidak terhakis akibat arus pembangunan pesat.

Kon Yeow berkata kesemua 16 item itu akan diisytiharkan secara rasmi menerusi Program Kenduri Warisan bersempena Perisytiharan Warisan Negeri dijadualkan berlangsung dalam masa terdekat.

Pihaknya juga berharap lebih banyak khazanah warisan kebudayaan Pulau Pinang dapat dikenal pasti serta diangkat sebagai Warisan Negeri pada masa hadapan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment