GENEVA – Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), memerlukan dana sebanyak AS$86 juta, untuk melaksanakan program pendidikan di Gaza tahun ini, kata jurucakapnya, James Elder.
Jumlah itu “lebih kurang sama dengan apa yang dibelanjakan dunia untuk kopi dalam tempoh satu atau dua jam”.
Sejak bermulanya perang susulan serangan Hamas ke atas Israel pada Oktober 2023, hampir 90 peratus sekolah di Gaza mengalami kerosakan atau musnah sepenuhnya, manakala lebih 700,000 kanak-kanak tercicir daripada akses pendidikan formal.
“Hampir dua setengah tahun serangan terhadap sistem pendidikan di Gaza telah meletakkan keseluruhan satu generasi dalam keadaan berisiko,” katanya.
Elder berkata, UNICEF kini memperluaskan secara drastik inisiatif pendidikannya di wilayah Palestin itu dan tegasnya mengembalikan kanak-kanak ke sekolah, ‘bukan hanya satu langkah yang baik, tetapi disifatkan keperluan kecemasan’.
Beliau turut menekankan, sebelum perang ini, rakyat Palestin di Gaza merekodkan antara kadar celik huruf tertinggi di dunia tetapi hari ini, warisan itu sedang diserang, sekolah, universiti dan perpustakaan dimusnahkan dengan kemajuan bertahun-tahun sudah terhapus.
Usaha memperluaskan akses pendidikan itu dilakukan ketika agensi bantuan berjaya membawa masuk lebih banyak bekalan ke wilayah yang dikepung itu sejak gencatan senjata rapuh yang disokong Amerika Syarikat berkuat kuasa pada Oktober lalu.
UNICEF memaklumkan, pihaknya berjaya membawa masuk lebih 4,400 kit rekreasi dan 240 kit ‘School-in-a-Carton’ yang mengandungi barangan seperti pensel, pen, kapur, buku latihan dan set geometri.
Jumlah keseluruhan kit yang dibawa masuk dijangka melebihi 11,000 menjelang akhir minggu ini dengan hampir 7,000 lagi dijadualkan untuk dihantar dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Nnn
