Kongres Nasional PKR di Melaka Jun

KUALA LUMPUR 25 Jan. –  Mesyuarat bulanan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memutuskan Kongres Nasional parti itu akan diadakan selama empat hari di Melaka dari 25 hingga 28 Jun ini, kata Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata maklumat terperinci akan dikeluarkan Ibu Pejabat KEADILAN dalam masa terdekat.

Mesyuarat hari ini juga memutuskan pelantikan Dr Zaliha Mustafa, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, Mohammed Taufiq Johari, Dr Mohamad Abdul Hamid dan Tengku  Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Ex Officio Biro Politik PKR.

Sementara itu,  Jamawi Ja’afar, ⁠ Ruji Ubi, Yamani Hafez Musa pula dilantik menjadi Ex Officio MPP PKR.

Fahmi berkata, MPP turut meneliti pelaksanaan ikhtiar terbaharu Kerajaan MADANI, termasuk Rancangan Pendidikan Negara yang merupakan usaha menyeluruh bagi menjamin mutu pendidikan yang lebih baik serta mempersiapkan generasi muda menghadapi dunia digital yang makin mencabar.

Beliau berkata, program bantuan rakyat seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Jualan Rahmah dan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) juga dilihat boleh ditambah baik bagi memastikan isu kos sara hidup rakyat dapat ditangani dengan tuntas.

Di samping itu langkah-langkah membanteras rasuah dan kumpulan kartel turut disokong, agar dana rakyat tidak diseleweng untuk memperkaya kelompok tertentu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment