JAKARTA 25 Jan. – Angka korban akibat kejadian tanah runtuh di Bandung Barat, Jawa Barat meningkat kepada 16 orang, dengan sembilan mangsa berjaya dikenal pasti setakat tengah hari ini.
Ketua Perhubungan Awam Polis Jawa Barat, Hendra Rochmawan, berkata sehingga pukul 12 tengah hari, empat lagi mayat ditemukan, di mana sembilan daripada jumlah keseluruhan mayat telah dikenal pasti.
Kejadian tanah runtuh berpunca hujan lebat itu melanda Kampung Pasirlangu kira-kira jam 2.30 pagi Sabtu, sehingga menimbus beberapa kawasan perumahan.
Berdasarkan data awal, seramai 232 penduduk yang dipindahkan kini berada di pusat perlindungan sementara.
Lebih 250 anggota yang dilengkapi peralatan khas telah dikerahkan bagi mempercepatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Sementara itu, Kementerian Luar Malaysia dalam satu kekenyataan mengesahkan tiada warganegaranya yang terbabit dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Pasir Kuning, semalam.
Wisma Putra berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagaimanapun memantau perkembangan SAR yang dilaksanakan pihak berkuasa Indonesia susulan kejadian itu.
Pihak kedutaan, sudah menghubungi wakil pelajar dan warga Malaysia berdaftar di Bandung Barat, selain berhubung secara aktif dengan Kementerian Luar Indonesia bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai usaha SAR.
Warga Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta di talian +6281380813036 atau e-mel mwjakarta@kln.gov.my.
