Tiga wartawan maut serangan Israel

GAZA – Tiga wartawan dan dua kanak-kanak turut terbunuh dalam serangan Israel ke atas Gaza pada Rabu, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin manakala enam lagi dilaporkan cedera.

Wartawan Anas Ghunaim, Abdul Ra’ouf Shaath dan Mohammad Qeshta, terbunuh apabila kenderaan mereka diserang di tengah Gaza ketika membuat liputan berhampiran Koridor Netzarim.

Menurut pegawai dan rakan sekerja, mereka bekerja dengan Jawatankuasa Bantuan Mesir untuk Gaza.

Israel mendakwa serangan itu menyasarkan kenderaan yang digunakan bagi aktiviti pengumpulan risikan, dakwaan yang dinafikan pihak jawatankuasa bantuan.

Dalam serangan berasingan, tiga ahli satu keluarga termasuk seorang kanak-kanak terbunuh di Deir el-Balah sementara di selatan Gaza, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dan seorang wanita terbunuh dan dua lagi dilaporkan maut di utara wilayah itu.

Pegawai Palestin berkata Israel berulang kali melanggar gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat sejak ia berkuat kuasa pada 10 Oktober.

Dalam pada itu, mereka turut mendakwa Israel terus menyekat kemasukan makanan, bantuan perubatan dan bahan perlindungan ke Gaza, ketika kira-kira 2.2 juta penduduk berdepan keperluan kemanusiaan mendesak dalam cuaca sejuk dan hanya berlindung di khemah daif.

Menurut data ketenteraan Israel, pasukan Israel masih menguasai kawasan luas di selatan, timur dan utara Gaza, dan secara berkesan mengekalkan kawalan ke atas keseluruhan wilayah itu.

Related posts

Leave a Comment