Lahirkan lebih ramai huffaz profesional – Zahid

KUALA LUMPUR 13 Jan. – Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan tahfiz diangkat sebagai satu daripada agenda utama kebangkitan pendidikan Melayu.

Beliau tidak mahu sekadar melahirkan huffaz yang hanya dihormati di mimbar tetapi terpinggir dalam ekonomi.

“Saya mahu lebih ramai jurutera huffaz, teknologis huffaz, akauntan huffaz dan usahawan huffaz. Inilah wajah baharu Melayu, berakar kukuh pada wahyu, namun melangkah pantas dan yakin dalam ekonomi moden,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu di Hotel Seri Pacific, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Setiausaha Agung UMNO,  Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Pengerusi Sektretariat Konvensyen Memperkasa Pendidikan Melayu,  Dr Mohd Puad Zarkashi.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, sejak sekian lama UMNO memberi penekanan untuk melihat pendidikan sebagai aset strategik demi kemajuan dan survival orang Melayu.

Sehubungan itu, tegasnya, pendidikan tahfiz yang memberi perhatian kepada kekuatan rohani mesti dilihat sebagai aset strategik bangsa, bukan isu pinggiran.

“Melalui Dasar Tahfiz Negara 2.0, Pra-Tahfiz, Ulul Albab di semua MRSM (Maktab Rendah Sains Mara) dan pengiktirafan Sijil Tahfiz Malaysia setara Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3, kita sedang membina generasi huffaz profesional.

Ini ialah strategi membina kelas menengah Melayu berteraskan nilai: generasi yang berilmu, berakhlak dan berkemahiran,” katanya.

Bagaimanapun, ada isu yang perlu ditangani apabila berlaku peminggiran dengan segelintir pihak memandang rendah terhadap dua bidang penting ini.

“Ada syarikat yang bukan ‘satu akidah’ dengan kita masih memandang rendah TVET. Bila ada iklan, disebut ‘preference mandarin speaking only’ (keutamaan kepada calon yang fasih Mandarin).

Apa maknanya ini? Sedangkan lebih 70 peratus pekerjaan baharu memerlukan kemahiran teknikal dan vokasional dengan majoriti pelajar TVET datang dalam kalangan kita (bangsa Melayu) terutama di luar bandar,” katanya.

Beliau turut mengingatkan kepemimpinan UMNO tidak hanya menjaga ‘legasi’ tetapi kembali menyalakan obor pendidikan bangsa secara menyeluruh.

“UMNO lahir untuk mengubah perjalanan bangsa dan dengan keberanian menyatukan sistem serta menyatupadukan program pendidikan yang lebih tersusun.
“(Ia boleh direalisasikan) jika kita sama-sama membina, bukan saja generasi yang ada tetapi sebuah masa depan,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment